FOTO Reuters
FOTO Reuters
Reuters

RIYADH: Arab Saudi akan membenarkan lelaki dan wanita berbangsa asing berkongsi bilik hotel tanpa membuktikan hubungan mahram selepas melancarkan visa pelancongan baru bagi menarik pelancong.

Satu lagi perubahan baru adalah wanita termasuk rakyat tempatan juga dibenarkan menyewa bilik bersendirian.

Tindakan itu dilihat memudahkan wanita yang mengembara bersendirian selain membolehkan pasangan yang tidak berkahwin menginap bersama ketika ke negara itu.

Perkara itu dilaporkan akhbar Okaz semalam dan disahkan Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Saudi.

“Semua rakyat tempatan diminta menunjukkan pengenalan diri atau hubungan sesama mereka apabila mendaftar masuk ke hotel.

“Ini bagaimanapun tidak diperlukan untuk pelancong asing. Semua wanita termasuk dari Arab Saudi juga boleh menginap bersendirian asalkan memberikan pengenalan diri ketika mendaftar masuk,” katanya.

Arab Saudi minggu lalu membuka pintunya dengan visa pelancong dari 49 negara dalam pada ia cuba memperkembang sektor berkenaan seterusnya mempelbagaikan ekonominya selain daripada pengeksportan minyak.

Susulan itu ia turut membenarkan pelancong dikecualikan daripada menutup aurat penuh dan serba hitam, sebaliknya hanya perlu memastikan berpakaian sopan. Alkohol masih diharamkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 10:35 AM