TAPAK projek pembangunan KLVC di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
TAPAK projek pembangunan KLVC di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
Mohd Sabran Md Sani


AUDIT ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang sedang dibangunkan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) atas tanah milik FELDA akan bermula esok.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, tindakan itu dilakukan selepas Jabatan Perdana Menteri melantik syarikat audit luar, Khamis lalu.

Katanya, ia bukan perkara baru bagi Felda melalukan audit seperti itu memandangkan ia pernah dilakukan ketika penggantungan sementara Pengurus Besar FELDA pada Disember 2014.

"Sebaik saja penggantungan, dilakukan pengauditan kepada projek-projek diuruskannya dan diwujudkan Jabatan Transformasi.

"Audit berlaku pada 2015 dan disambung Ketua Audit Negara sebelum tindakan dilakukan terhadap dapatan (hasil siasatan) untuk tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tindakan mahkamah," katanya.

Katanya, audit berkaitan isu berkenaan juga akan berjalan seperti dilaksanakan sebelum ini.

"Apa saja dapatannya, mungkin akan ada tindakan disiplin, tindakan dalaman atau undang-undang.

"Kalau terjumpa apa-apa aspek, boleh dianggap salah laku," katanya.

SHAHRIR (dua kiri) ketika sidang media selepas lawatan ke Desa Datuk Hajah Hasnah Ahmad. FOTO Hairul Anuar Rahim
SHAHRIR (dua kiri) ketika sidang media selepas lawatan ke Desa Datuk Hajah Hasnah Ahmad. FOTO Hairul Anuar Rahim

Katanya, Felda tidak akan berkompromi mengenai isu tanah milik agensi itu, selain berpendapat pemindahan milik adalah salah laku.

Katanya, paling penting siasatan sudah dijalankan membabitkan dua kriteria utama.

"Pertamanya siasatan daripada segi undang-undang dan keduanya siasatan daripada segi proses urus tadbir yang dibuat firma audit luar," katanya.

Katanya, pihak berkenaan berpendapat tidak perlu dipindah milik tanah kepada syarikat pemaju untuk pembangunan tanah itu.

"Ini kerana dengan kuasa guaman yang ada, projek itu sudah mendapat kebenaran pembangunan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya.

Katanya, paling penting sekiranya ada salah laku, tindakan diambil terhadap individu berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Desa Datuk Hajah Hasnah Ahmad di Johor Bahru, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 8:47 PM