Zulfa Mohamad


WARGA emas dileteri isterinya selepas ditahan atas kesalahan dadah di Bakau Tua, Penaga, Kepala Batas, tengah hari ini.

Lelaki berusia 60-an itu antara 50 penagih ditahan dalam Op Sarang membabitkan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPDSPU) dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) SPU.

Isteri kepada warga emas berkenaan turut meminta polis memasukkan suaminya ke penjara kerana sudah muak dengan tabiat buruk lelaki berkenaan.

“Patut tunggu tak balik-balik, rupanya dok ikut perangai orang muda,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, operasi bermula 5 pagi hingga 12 tengah hari itu hasil maklumat awam mengenai kegiatan penagihan dadah di Bakau Tua yang dianggap kawasan 'panas' dalam daerah SPU.

Beliau berkata, mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 63 tahun itu termasuk penagih berulang.

"Sebahagian yang ditahan bekerja sebagai nelayan dan menjadikan kawasan belukar tepi Sungai Muda sebagai tempat melepaskan gian.

"Polis turut merampas 50 gram (g) heroin, 15g syabu dan dua biji pil Eramin 5," katanya.

Noorzainy berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama manakala tindakan diambil mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

"Kami ingin tegaskan bahawa IPDSPU komited untuk membasmi kegiatan penagihan dadah dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kegiatan dadah di kawasan mereka.

"Semua yang ditahan ini dibawa ke IPDSPU untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 4:04 PM
 Noorzainy (tengah) bersama anggota polis dan AADK menyoal penagih dadah yang ditahan. FOTO Amir Irsyad Omar
Noorzainy (tengah) bersama anggota polis dan AADK menyoal penagih dadah yang ditahan. FOTO Amir Irsyad Omar