KEADAAN jalan utama menghubungkan pekan Gemas yang terputus akibat banjir. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
KEADAAN jalan utama menghubungkan pekan Gemas yang terputus akibat banjir. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
BERNAMA

Kuala Lumpur: Hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan rendah di tujuh negeri dinaiki air, dengan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus mencatatkan peningkatan pagi ini.

Di SABAH, Telupid dan Sandakan menjadi dua daerah terbaharu terlibat dengan pemindahan mangsa banjir pagi ini, selepas Kota Marudu, Paitan dan Beluran.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan pertambahan daerah terbaharu itu menjadikan mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS meningkat kepada 717 orang daripada 212 keluarga berbanding 566 mangsa daripada 182 keluarga malam tadi.

Sekretariat itu juga memaklumkan, Paitan mempunyai 16 kawasan yang terjejas banjir diikuti Kota Marudu (10), Telupid (dua), manakala Beluran dan Sandakan masing-masing satu kawasan.

Kota Marudu kekal daerah paling ramai mangsa banjir dipindahkan dengan dua PPS dibuka, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek menempatkan 253 mangsa daripada 97 keluarga dan Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan yang menempatkan 251 mangsa daripada 70 keluarga.

MANGSA banjir membawa kit makanan permulaan bencana daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Johor di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampong Tenang, Segamat. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MANGSA banjir membawa kit makanan permulaan bencana daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Johor di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampong Tenang, Segamat. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir terus mencatatkan peningkatan kepada 1,122 orang melibatkan 279 keluarga setakat pukul 8 pagi ini, berbanding 677 orang daripada 173 keluarga pada pukul 8 malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 11 kawasan di Alor Gajah, lima kawasan di Melaka Tengah dan tiga kawasan di Jasin.

"Seramai 653 mangsa daripada 172 keluarga ditempatkan di lapan PPS di Alor Gajah, manakala 437 mangsa daripada 101 keluarga ditempatkan di dua PPS di Melaka Tengah serta 32 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Jasin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Di JOHOR, mangsa banjir di daerah Segamat dan Tangkak terus meningkat kepada 1,646 orang daripada 425 keluarga setakat pukul 8 pagi ini, berbanding 1,167 orang daripada 297 keluarga yang direkodkan pada 8 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata, terdapat pertambahan lapan lagi PPS di daerah Segamat iaitu Balai Raya Pogoh Tengah, Balai Raya Kampung Pudu, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kampung Tengah, Balai Islam Kampung Gubah, Sekolah Agama Gemereh, Balai Raya Kampung Bukit Tunggal Baru, Balai Raya Sekolah Kebangsaan Kampung Mendusut Lama dan Bangunan GPW Felda Mendoi, menjadikan kesemuanya 27 PPS dibuka, manakala Tangkak kekal satu PPS yang dibuka.

"Lapan daerah masih menerima hujan kecuali Tangkak dan Pontian, yang mendung," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, dua sungai kekal melepasi paras bahaya iaitu Sungai Segamat di Bandar Segamat dan Sungai Tangkak di Kampung Sri Makmur, Tangkak.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini seramai 1,804 orang dengan 39 PPS beroperasi di lapan daerah.

Daripada jumlah itu, 649 orang adalah mangsa banjir gelombang kedua melibatkan daerah Raub, Lipis, Bera, Maran dan Rompin.

Laman sesawang rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan enam sungai melebihi paras bahaya iaitu Sungai Tanum di Chegar Perah, Sungai Lipis di Benta dan Sungai Jelai semuanya di Lipis; Sungai Pahang di Paya Gintong, Jerantut; Sungai Serting di Padang Gudang, Bera; dan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan cuaca hujan di semua daerah sini sepanjang hari ini.

ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap di Kampung Londah akibat banjir.
ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap di Kampung Londah akibat banjir.

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah mangsa banjir di negeri itu sebanyak 1,767 orang daripada 460 keluarga membabitkan 16 PPS setakat pukul 7 pagi ini.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir kekal seramai 308 orang daripada 109 keluarga melibatkan lima PPS di dua jajahan, iaitu empat di Kuala Krai dan satu di Jeli setakat pukul 8 pagi ini.

Sementara itu, portal rasmi JPS melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya, manakala empat sungai merekodkan bacaan paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai; Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah; Sungai Kelantan; dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Di TERENGGANU jumlah mangsa banjir kekal 147 orang daripada 44 keluarga ditempatkan di tiga PPS pagi ini.

Di Dungun, jumlah mangsa di Dewan Orang Ramai Kampung Shukor kekal 68 orang daripada 20 keluarga dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja menempatkan 69 orang daripada 22 keluarga, manakala di Surau Kampung Ban Ho di Kemaman terdapat 10 orang daripada dua keluarga.

Portal rasmi JPS memaklumkan tiada stesen bacaan sungai yang melepasi paras bahaya pagi ini, namun tiga sungai masih melepasi paras amaran iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut; Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu; dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 11:50 AM