Razif Rosli

ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh membantu membawa turun seorang pesakit wanita berusia 68 tahun yang mengalami masalah obesiti daripada rumahnya di Taman Desa Tambun, malam tadi.

Wanita yang mempunyai berat badan lebih 160 kilogram itu tidak mampu berjalan sehingga meminta bantuan kecemasan daripada bomba dan penyelamat.

Ketua Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II, Khairuddin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 11.54 malam sebelum 10 anggota termasuk anggota Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

"Setibanya di lokasi kejadian, wanita terbabit dilihat terlantar di atas katil dan perlu menjalani rawatan di hospital.

"Kita berusaha membantu mengangkat wanita terbabit beramai-ramai sebelum dia dimasukkan ke dalam jentera EMRS. Wanita itu kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 3:02 PM