Anggota bomba dan penyelamat melakukan pemeriksaan ke atas pusat jagaan orang tua yang terbakar di Sungai Long. FOTO arkib NSTP
Anggota bomba dan penyelamat melakukan pemeriksaan ke atas pusat jagaan orang tua yang terbakar di Sungai Long. FOTO arkib NSTP
Hazira Ahmad Zaidi


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggesa semua pengusaha pusat jagaan orang tua supaya berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memudahkan pihaknya melakukan penilaian tahap keselamatan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, pihaknya sedang menjalankan kajian ke atas pusat berkenaan bagi membantu menambah baik aspek keselamatan demi penghuninya.

Katanya, rumah orang tua selain anak yatim memerlukan tindakan berbeza daripada kediaman lain kerana faktor penghuninya yang tidak boleh bertindak sendirian jika berlaku kecemasan.

"Sebab itu, pusat begini perlu dilihat menyeluruh, dari segi reka bentuk dan aspek pengesanan kebakaran yang harus bermula di peringkat awal.

"Perlu juga lihat semula garis panduan dan pemeriksaan keselamatan di premis itu, bukan hanya sudut kebajikan semata-mata.

"Berikutan itu, pengusaha perlu berdaftar supaya kita mudah membantu dan pastikan kejadian berlaku sebelum ini tidak berulang," katanya ditemui di Kampung Chetok, Kedai Piah, Ketereh, Kota Bharu, hari ini.

Beliau mengulas mengenai tragedi meragut lima nyawa dalam kebakaran di pusat jagaan orang tua di Sungai Long, Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Wan Mohd Nor berkata, premis itu tidak berdaftar dengan JKM dan siasatan masih dijalankan susulan kes itu.

"Kita akan jalankan penyelidikan mengenai pusat jagaan orang tua bagi mengetahui jumlah dan bilangannya, disebabkan masih banyak pusat tidak berdaftar dan kewujudan hanya diketahui selepas berlaku tragedi," katanya.

Terdahulu, beliau hadir Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dirasmikan Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa.

Hadir sama, Pengarah JBPM Kelantan Nazili Mahmood.

Empat rumah dibina jabatan itu bagi menggantikan rumah mangsa yang hangus dalam kebakaran, masing-masing di Wakaf Bharu, Tumpat; Pasir Puteh; Pasir Mas dan Kampung Chetok.

Di bawah projek itu, sembilan lagi rumah dibaik pulih dengan peruntukan keseluruhan RM264,000.

Berita berkaitan

'Baru sebulan tinggal di situ'

Pusat jagaan tiada permit

Lima maut di Kajang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 5:02 PM