AMIL Izham (baju putih) bersama kakitangannya dan Mohd Azmi (bersongkok) melihat pakaian terpakai yang berjaya dikumpul untuk dijual kepada peraih. FOTO Syarafiq Abd Samad
AMIL Izham (baju putih) bersama kakitangannya dan Mohd Azmi (bersongkok) melihat pakaian terpakai yang berjaya dikumpul untuk dijual kepada peraih. FOTO Syarafiq Abd Samad
Rizanizam Abdul Hamid


PRIHATIN terhadap golongan memerlukan, kira-kira 100 kakitangan Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) menyertai program ‘UNIRAZAK Ramadan Spring Cleaning’ dalam usaha untuk mengumpul dana bagi membantu rumah orang-orang tua terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutif UNIRAZAK Amil Izham Hamzah berkata, program pertama kali diadakan itu bermula pada 1 Ramadan lalu yang menyaksikan kakitangan terbabit berjaya mengumpulkan 1.5 tan pakaian untuk dijual kepada peraih pakaian terpakai.

Menurutnya, menjadi kebiasaan buat UNIRAZAK mengadakan program atau inisiatif yang berteraskan kemasyarakatan dan juga kerja amal, malah setiap pelajarnya diwajibkan untuk mengambil subjek kesukarelawanan.

“UNIRAZAK Ramadan Spring Cleaning adalah pertama kali diadakan bagi membantu mereka yang memerlukan, lebih-lebih lagi dalam persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Semua hasil jualan pakaian terpakai bernilai RM3,000 diserahkan kepada wakil Pusat Jagaan Al-Fikrah di Kajang untuk meringankan kos operasi mereka,” katanya pada program itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah Mohd Azmi Md Zain.

Sementara itu, Mohd Azmi turut berterima kasih kepada UNIRAZAK kerana prihatin dengan keperluan pusat jagaan warga emas terbabit yang membantu menguruskan 70 warga emas kurang berkemampuan.

“Setiap bulan, Pusat Jagaan Al-Fikrah yang beroperasi enam tahun lalu memerlukan kira-kira RM45,000 hingga RM50,000 untuk keperluan penghuninya.

“Kami harap lebih banyak sektor korporat dapat membantu rumah-rumah kebajikan seperti Al-Fikrah ini yang sememangnya banyak bergantung kepada sumbangan orang ramai selain daripada bantuan kerajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 4:05 PM