FOTO ihsan polis
FOTO ihsan polis
Oleh Mohd Hasbi Sidek

Banting: Kurang dua jam menyamun seorang pemandu teksi, tiga penjenayah ditahan polis dalam kejadian di Jalan Klang-Banting berhampiran Telok Panglima Garang dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, suspek melarikan diri menggunakan teksi milik mangsanya sebelum terbabas dan merempuh beberapa pengguna jalan raya lain.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azman Abdul Razak berkata, kira-kira 9.30 malam ketiga-tiga suspek menaiki teksi itu dari Ampang dan ketika tiba di daerah ini mereka memaksa mangsa memberhentikan kenderaan di kawasan perkuburan.

"Suspek kemudiannya mengacukan pisau di leher dan perut mangsa serta mengarahkan mangsa keluar dari kenderaan sebelum melarikan wang tunai RM115 dan teksi berkenaan.

"Mangsa kemudian melaporkan kejadian kepada polis dan kami mengadakan sekatan jalan raya.

"Namun suspek bertindak melanggar kenderaan polis sebelum kami mengejarnya sejauh 18 kilometer dan suspek terbabas di lokasi kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 8:15 PM