Amir  menebar roti canai terbang pada majlis pelancaran Restoran  Jom Roti, semalam.
Amir menebar roti canai terbang pada majlis pelancaran Restoran Jom Roti, semalam.
Salman Hamat dan Zairee Mohd Yasak

Melaka: Perjuangan hampir 20 tahun Super Roti Man Malaysia Amir Hamzah Omar, 36, mengangkat roti canai sebagai makanan dunia sampai ke kemuncak apabila dia bersama rakan kongsinya kini dalam proses akhir membuka restoran sendiri di Sydney, Australia.

Katanya, jika semua perancangan berjalan lancar, Restoran Jom Roti yang menyediakan roti canai dan teh tarik sebagai menu utama mula beroperasi Mac depan.

Malah, kedua-dua anak Malaysia itu merancang membuka empat lagi cawangan restoran sama di bandar utama di Australia dalam tempoh tiga tahun.

Bapa kepada empat anak itu yang popular dengan kemahirannya menyediakan roti canai ‘terbang’ berkata, menjadi impiannya mengangkat roti canai sebagai makanan antarabangsa sama seperti piza dari Itali atau hidangan sushi di Jepun.

Katanya, sebelum ini, dia kerap diundang membuat persembahan roti canai terbang di seluruh dunia terutama di Australia sebelum mengambil keputusan membuka restoran pertama di negara terbabit selepas berbincang dengan rakan kongsinya, Zi Hao Chew, 36.

“Kalau setakat buat persembahan, ia ‘mati’ begitu saja selepas program selesai.

“Jadi, saya bersama Hao Chew ambil inisiatif buka restoran supaya masyarakat dunia tahu apa itu roti canai dan teh tarik.

“Selain menikmati hidangan popular Malaysia itu, pelanggan boleh menyaksikan kemahiran saya menyediakan roti canai terbang. Semua itu usaha kami untuk menjenamakan roti canai.

“Saya bercadang melatih lebih ramai penebar yang boleh menyediakan roti canai terbang. Pembukaan restoran itu nanti memberikan kepuasan pada diri saya,” katanya.

 REKAAN grafik susun atur restoran Jom Roti di Australia.
REKAAN grafik susun atur restoran Jom Roti di Australia.

Dia ditemui pada pelancaran Restoran Jom Roti di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, semalam, yang disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Anak kelahiran Melaka itu berkata, roti canai juga diiktiraf sebagai makanan popular dunia termasuk di Chennai, India yang dikatakan negara asal makanan itu.

Sementara itu, Hao Chew berkata, dia menggunakan pengalaman 16 tahun dalam bidang pengurusan makanan untuk bersama-sama membantu Amir mempopularkan roti canai.

“Niat saya untuk bersama-sama memperkenalkan roti canai sebagai makanan berasal dari Malaysia, jadi kami tidak kisah membelanjakan sehingga RM13 juta untuk semua ini.

“Buat permulaan, kami sediakan 10 menu berasaskan roti canai selain menawarkan hidangan Asia untuk mempelbagaikan lagi hidangan mengikut cita rasa pelanggan yang berbeza-beza,” katanya.

Menurutnya, mereka menggunakan jenama Jom Roti kerana mahu mengekalkan identiti Malaysia walaupun sedar majoriti penduduk di Australia bertutur dalam bahasa Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 8:32 AM