Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Seorang pengusaha kedai makan mencipta kelainan apabila menggunakan dapur kayu arang bagi penyediaan hidangan roti canai sejak ia diusahakan lebih tiga tahun lalu.

Mohd Zamzuri Ismail, 52, berkata, idea untuk mengolah teknik hidangan roti canai yang dimasak menggunakan dapur kayu arang itu tercetus memandangkan ia jarang dilakukan oleh kebanyakan pengusaha atau mana-mana penebar roti canai.

"Tidak ramai sebenarnya yang mengetahui apabila roti canai atau apa sahaja jenis makanan yang dimasak menggunakan kayu arang ia secara tidak langsung dapat membangkitkan aroma sangat harum serta cukup menyelerakan.

"Pada masa sama, peranan kayu arang yang digunakan ini juga membuatkan roti canai menjadi lebih rangup serta kurang berminyak," katanya ketika ditemui di kedai Roti Canai Kayu Arang di Kampung Batu Tinggi, Kok Lanas, di sini, semalam.

Bapa kepada empat cahaya mata berusia di antara 14 hingga 25 tahun ini berkata, bagi memenuhi permintaan pelanggan serta penggemar roti canai, setiap hari dia akan menguli 30 kilogram (kg) tepung dan dianggarkan mampu menjual sehingga 700 keping roti canai sehari.

MOHD Zamzuri Ismail mencipta kelainan apabila menggunakan dapur kayu arang bagi penyediaan hidangan roti canai. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
MOHD Zamzuri Ismail mencipta kelainan apabila menggunakan dapur kayu arang bagi penyediaan hidangan roti canai. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

"Disebabkan keunikan teknik masakan menggunakan kayu arang, roti canai saya pernah menjadi pilihan pemimpin tempatan serta kerabat diraja yang datang untuk merasai sendiri keenakan roti canai ini.

"Saya menjual pelbagai jenis roti canai seperti roti kosong, sardin, telur, bom serta cotek dan kedai mula beroperasi seawal jam 7 pagi sehingga 10.30 malam setiap Rabu hingga Isnin," katanya.

Katanya, memasak roti canai menggunakan kayu arang bukan perkara yang mudah kerana keadaan bara api perlu sentiasa dipantau bagi mengelakkan roti canai yang dimasak hangit atau tidak masak sepenuhnya.

"Seeloknya bara api ini tidak berada dalam keadaan yang terlalu besar kerana dibimbangi akan merosakkan tekstur roti canai dan setiap hari saya akan menggunakan 8 hingga 10 kg kayu arang.

"Kebiasaannya apabila pelanggan terlalu ramai, saya tidak menang tangan untuk menyiapkan roti canai dan akan bergilir dengan anak sulung, Nur Aina Diana, 25, yang sedikit mahir mengendalikan dapur kayu arang ketika memasak roti canai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 9:22 AM