Kapten bot bersama awak-awak berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan rakit penyelamat selepas kapal korek WTK1 tenggelam di kawasan perairan Pulau Berhala, Pekan.
Kapten bot bersama awak-awak berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan rakit penyelamat selepas kapal korek WTK1 tenggelam di kawasan perairan Pulau Berhala, Pekan.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: “Kapal kami tiba-tiba dipukul ombak besar setinggi tiga meter dan mengalami kebocoran di bahagian kanan.

“Apabila kapal mula condong, saya mengejutkan semua anak kapal dan tidak lama kemudian kapal terbalik. Kami terus lompat dan menyelamatkan diri menggunakan rakit penyelamat,” kata kapten kapal korek WTK1, Dewiris Taupik, 45, yang karam di perairan Pulau Berhala, Pekan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, kapten kapal dan 11 awak-awak iaitu empat warga Indonesia serta lapan warga Thailand menyelamatkan diri dengan menggunakan rakit penyelamat.

Dewiris berkata, mereka hanyut selama 13 jam sebelum diselamatkan bot tunda DICKSON 8 kira-kira 10.9 batu nautika dari lokasi kapal berkenaan karam.

“Kami diselamatkan bot tunda dan dibawa ke (pelabuhan) Kuantan. Dua anak kapal mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

“Kami bersyukur kerana terselamat walaupun kapal berkenaan karam. Saya berterima kasih kepada pihak berkuasa kerana membantu kami,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Maritim Wilayah Timur Laksamana Pertama Maritim Zulkarnain Mohd Omar berkata, Pusat Operasi Maritim Malaysia Wilayah Timur (PUSOP WILTIM) menerima maklumat daripada kapten bot tunda DICKSON 8 dikenali sebagai Khairul yang memaklumkan kejadian terbabit jam 6 petang.

Katanya, mengikut maklumat awal, kapal korek itu dalam perjalanan dari Batam, Indonesia ke Thailand untuk dibaiki. Bagaimanapun ia tenggelam di lokasi kejadian selepas mengalami kebocoran pada bahagian kanan kapal dan dipukul ombak setinggi tiga meter.

“Bot tunda DICKSON 8 membawa semua mereka ke Pelabuhan Kuantan lebih kurang jam 9.30 pagi tadi (semalam). Mereka dalam keadaan selamat dan hanya dua kru cedera ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan,” katanya.

Beliau berkata, pejabat Kedutaan Indonesia dan Thailand sudah dihubungi bagi urusan dokumentasi serta penghantaran pulang anak kapal terbabit.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, Komuniti maritim boleh berhubung terus dengan Maritim Malaysia jika berlaku insiden tidak diingini di laut melalui talian 09-5717345 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 6:54 AM