MOTOSIKAL milik penduduk yang hangus di Rumah Pangsa Jalan Hang Tuah, awal pagi semalam.
MOTOSIKAL milik penduduk yang hangus di Rumah Pangsa Jalan Hang Tuah, awal pagi semalam.
Faliq Lajim


Kuala Lumpur: “Ini kerja ‘tangan syaitan’ yang sengaja membakar deretan kenderaan milik penghuni di pangsapuri ini,” kata seorang penduduk Blok A, Pangsapuri Hang Tuah di sini, yang hanya mahu dikenali sebagai Aziz, 32.

Dalam kejadian jam 3 pagi semalam, sebanyak 15 motosikal dan sebuah kereta diletakkan di parkir tingkat bawah pangsapuri itu terbakar akibat perbuatan khianat individu yang dipercayai menggunakan petrol untuk membakar kenderaan itu.

Menurutnya, kebakaran berlaku ketika rata-rata penduduk tidur lena.

“Api terlalu marak dan gagal dipadamkan penduduk. Malah berlaku beberapa letupan susulan kebakaran mengejut itu.

“Kami yakin kebakaran disengajakan susulan penemuan botol plastik berisi petrol ditinggalkan berhampiran lokasi kebakaran,” katanya.

Sementara itu mangsa yang hanya mahu dkenali sebagai Hafiz, 34, buntu selepas motosikal Honda EX5 miliknya musnah terbakar dalam insiden itu.

Menurutnya, motosikal itu digunakan untuk menghantar anak ke sekolah dan bekerja setiap hari.

“Saya hanya menyedari kejadian yang berlaku ketika mahu menghantar anak ke sekolah jam 7 pagi tadi (semalam).

“Saya dapati motosikal saya itu sudah rentung. Saya buntu berikutan hanya memiliki kenderaan itu bergerak ke mana-mana,” katanya.

Susulan itu dia terpaksa meminjam motosikal milik bapa mentuanya buat sementara waktu bagi memudahkan urusan.

Seorang lagi mangsa yang juga pemilik kereta Toyota Vios, Selva R., 49, berkata, dia tidur ketika kejadian kebakaran berlaku.

“Saya terjaga sebaik terdengar bunyi letupan kuat dan segera memeriksa apa yang berlaku. Saya dapati pintu dan but kereta terbakar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dikerah ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.

Katanya, sebanyak 10 motosikal musnah sepenuhnya manakala sebuah kereta terbakar pada bahagian pintu kiri dan but.

“Anggota Forensik Bomba juga menemui tiga sampel serta botol plastik berisi cecair yang mungkin digunakan untuk membakar motosikal itu,” katanya,

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah memberitahu ada saksi melihat dua lelaki mencurahkan minyak lalu membakar motosikal di lokasi kejadian.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 7:40 AM