Api marak membakar rumah kedai dalam kebakaran di Jalan Ceniah, Pandamaran, hari ini. FOTO ihsan JBPM
Api marak membakar rumah kedai dalam kebakaran di Jalan Ceniah, Pandamaran, hari ini. FOTO ihsan JBPM
Faliq Lajim


ENAM rumah kedai termasuk kedai runcit dan plastik musnah dalam kebakaran di Jalan Ceniah, Pandamaran, Pelabuhan Klang, hari ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4 pagi berhubung kejadian terbabit.

Beliau berkata, 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja, Pelabuhan Klang, Andalas dan Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Ketika bomba sampai, hampir semua premis musnah terbakar kerana kebanyakan kedai itu berstruktur papan dan batu.

"Kita berjaya mengawal kebakaran pada 4.55 pagi," katanya.

Menurutnya, kebakaran dipercayai berpunca dari sebuah kedai sebelum api merebak ke kedai berhampiran.

Samsol Maarif berkata, tiada mangsa terbabit dalam kebakaran itu.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 10:55 AM