UPM juara Pertandingan Debat Nuklear 2022.
UPM juara Pertandingan Debat Nuklear 2022.
Suliati Asri

 

PASUKAN debat Universiti Putra Malaysia (UPM) rai kejayaan berganda dengan menjadi juara Pertandingan Debat Nuklear 2022 dan memenangi pendebat terbaik.

  UPM mengalahkan enam pasukan pendebat dari institut pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara menerusi pertandingan yang berlangsung pada 28 Jun lalu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

  Pada pusingan akhir pertandingan terbabit, pasukan UPM selaku 'kerajaan' bertemu pasukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) (pembangkang) dengan usul perdebatan 'Bebas Karbon 2050: Sudah Tiba Masanya Malaysia Mengimplimentasikan Loji Jana Kuasa Nuklear.'

  UPM yang dibarisi empat pendebat iaitu Nur Ain Aqilah Rosli, Bacelor Sains Statistik Dengan Pendidikan, Fakulti Sains, Muhammad Hakim Nor Zamani, Bacelor Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Iskandar Zikry Zakaria pelajar Bacelor Pendidikan Bimbingan Dan Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan dan pendebat simpanan Muhammad Alif Mohd Roaim, Bacelor Sains Fizik Dengan Pendidikan, Fakulti Sains pulang dengan hadiah piala pusingan, wang tunai RM3,000 dan sijil pencapaian.

  Naib johan pula dimenangi USIM yang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan sijil pencapaian.

NUR Ain terpilih sebagai pendebat terbaik.
NUR Ain terpilih sebagai pendebat terbaik.

  Sementara itu, anugerah pendebat terbaik yang dirangkul Nur Ain Aqilah dengan membawa pulang hadiah plak dan sijil kemenangan.

  Mengulas mengenai kemenangannya itu, Nur Ain Aqilah berkata, kejayaannya itu menjadi titik permulaan buat dirinya untuk pergi lebih jauh dan hadiah buat Kelab Debat Bahasa Melayu UPM (KDBM Putra) yang banyak melatihnya dalam dunia pengucapan awam.

  "Saya sangat bersyukur atas anugerah ini kerana sememangnya sudah lama berusaha untuk memantapkan gaya perdebatan.

  "Selain itu, UPM juga sudah agak lama berehat dalam menjuarai mana-mana pertandingan debat," katanya.

  Pertandingan yang berlangsung sejak tiga hari lalu dianjurkan Fakulti Sains dan Teknologi, UKM dengan rakan kerjasama agensi pelaksana iaitu Agensi Nuklear Malaysia dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

  Turut hadir Ketua Pengarah AELB, Raja Abdul Aziz Raja Adnan, Timbalan Ketua Pengarah AELB, Noraishah Pungut, dan Pengarah Bahagian Pengurusan Maklumat Agensi Nuklear Malaysia, Habibah Adnan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 6:42 AM