PELAJAR UiTM memberi Abu makan di Kolej Kediaman Tun Mamat.
PELAJAR UiTM memberi Abu makan di Kolej Kediaman Tun Mamat.
Salman Hamat


Melaka: Ihsan netizen membantu menyelamatkan seekor kucing apabila ada yang sudi menghulurkan sumbangan bagi menampung kos pembedahan haiwan itu yang patah tulang rahang akibat dilanggar motosikal.

Nasib kucing kampung diberi nama Abu itu mendapat perhatian netizen selepas dua penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Bandar Raya Melaka memuat naik gambar haiwan berkenaan di akaun Twitter masing-masing.

Terdahulu, kucing peliharaan penghuni Kolej Kediaman Tun Mamat, UiTM Kampus Bandar Raya Melaka, Jalan Tun Mamat, di sini ditemui dalam keadaan mulut berlumuran darah di depan pintu masuk utama kolej itu, pada jam 10 malam, 2 Disember lalu.

Penuntut ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hotel dan Pelancongan Azrul Ashraf Azunan, 22, berkata, rakannya menghantar kucing berkenaan untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik haiwan di Sungai Putat pada keesokan hari.

“Doktor maklumkan tulang rahang Abu patah dan perlu dibedah segera untuk memasang dawai bagi menyambung semula bahagian itu, tapi kosnya mahal sampai RM1,000. Kerana tidak ada duit, kami hanya bayar kos suntikan antibiotik dan ubat berjumlah RM50.

“Mengenangkan nasib Abu yang juga kucing kesayangan penghuni kolej, saya dan seorang lagi rakan memuat naik gambar haiwan itu, niat kami hanya untuk berkongsi. Pada mulanya ada netizen yang mencemuh dan tidak kurang pula mendakwa kami ambil kesempatan untuk dapatkan wang mudah.

“Namun selepas diberi penjelasan termasuk memuat naik video, netizen mula faham niat kami.

“Syukur dalam tempoh empat jam wang RM1,000 untuk tampung kos pembedahan Abu berjaya dikumpul, malah ada seorang individu menyumbangkan RM500,” katanya di Kolej Kediaman Tun Mamat, semalam.

Rakan sekuliahnya Firdaus Mohd Yusof, 20, berkata, dia ditugaskan menjaga, memberikan ubat dan makanan kepada Abu selepas haiwan itu selesai menjalani pembedahan.

Menurutnya, apa yang mereka lakukan atas rasa tanggungjawab selain membantu haiwan itu menjalani kehidupan seperti biasa kerana Abu dianggap sebagai kucing peliharaan semua penghuni kolej terbabit.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM Kampus Bandar Raya Melaka, Zamzuri Ahmad Nazari berkata, usaha penuntutnya itu turut mendapat perhatian pengurusan tertinggi UiTM Melaka.

“Saya berasa bangga dengan kesungguhan penuntut terbabit yang berusaha membantu menyelamatkan nyawa haiwan itu,” katanya. yang pada mulanya disangka tidak ada peluang untuk sembuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 9:24 AM