Keadaan Comel yang sudah dibedah. FOTO ihsan Muhammad Rahimi
Keadaan Comel yang sudah dibedah. FOTO ihsan Muhammad Rahimi
Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Sayangnya seorang pemuda terhadap kucing membuatkan dia rela mengiklankan topi keledar jenama Shoei kesayangannya untuk dijual, semata-mata mahu menggunakan wang hasil jualan itu demi menyelamatkan kucing peliharaannya daripada lumpuh.

Niat murni Muhammad Rahimi Ayob, 21, menjadi ‘viral’ di laman sosial selepas memuat naik gambar topi keledar yang mahu dijual bagi menampung kos pembedahan kucingnya.

Menurut Muhammad Rahimi, perasaannya mula tersentuh ketika hendak keluar ke tempat kerja apabila ternampak kaki kucing peliharaan yang dipanggil ‘Comel’ berdarah, Ahad lalu.

“Kaki comel berdarah dan mengiau umpama meminta saya tolong. Saya tidak sampai hati dan bawa kucing jantan saya itu ke klinik haiwan.

“Bagaimanapun, apabila sampai di klinik doktor memberitahu dia (Comel) terpaksa dibedah untuk menyambungkan urat kakinya yang terputus,” katanya yang tinggal di Kuantan, Pahang.

Menurutnya, jika tidak dirawat, Comel akan lumpuh.

“Saya sudah bela Comel sejak 2010 dan anggap haiwan itu sebagai sebahagian keluar saya sendiri. Oleh itu, saya muat naik gambar topi keledar jenama Shoei untuk dijual.

“Saya letak harga RM1,500 kerana itu harga kos pembedahan kaki Comel,” katanya.

Muhammad Rahimi berkata, selepas dia muat naik tawaran itu ada beberapa individu prihatin yang sanggup menanggung kos pembedahan kucingnya, tanpa perlu menjual topi keledarnya.

“Mereka mesej saya untuk menampung kos pembedahan Comel, saya rasa sangat bersyukur tidak perlu jual topi keledar itu kerana topi kaledar itu saya pakai setiap hari untuk cari makan,” katanya yang bekerja sebagai penghantar surat.

Menurutnya, Comel sudah menerima rawatan hasil bantuan orang ramai.

“Wang yang diamanahkan empat individu prihatin itu sudah saya gunakan untuk kos pembedahan dan ayah saya tambah sedikit kerana ia masih tidak mencukupi.

“Bagaimanapun, saya lega dapat selamatkan Comel daripada lumpuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 10:21 PM