Mahaizura Abd Malik


KUALA LUMPUR: Marah dan kecewa itulah reaksi Halim Hussin, 38, apabila Maruko, kucing kesayangan yang dijaga bagaikan menatang minyak yang penuh ditemui dalam keadaan berdarah, cedera dan murung dalam kejadian 11 Oktober lalu.

Hasil pemeriksaan dilakukan, Halim mendapati rahang haiwan peliharaan kesayangannya itu patah disyaki akibat dilanggar kenderaan.

Menurut Halim, kejadian berlaku di rumahnya di Johor Jaya, Johor Bahru, Johor itu adalah pengalaman paling buruk menimpa mereka sekeluarga yang sudah enam tahun memelihara enam ekor kucing.

“Kejadian mungkin berlaku pada waktu subuh dan Maruko yang dilepaskan dipercayai baru balik semula ke rumah. Ketika itu kesan darah ditemui juga masih baru.

“Berdasarkan keadaan kecederaan lain dan rahangnya yang patah, saya percaya Maruko dilanggar kereta atau motosikal.

“Kalau dikurung sepanjang masa kami berasa kasihan. Haiwan juga macam manusia mahu hidup bebas,” katanya.

Akibat kejadian itu Maruko terpaksa dirujuk ke klinik veterinar swasta

di Johor Bahru kerana mengalami kecederaan serius.

“Saya difahamkan, klinik veterinar kerajaan tidak boleh ambil kes berkenaan dan minta kami rujuk klinik veterinar swasta.

“Kos keseluruhan rawatan untuk memasukkan besi dan masuk wad (ditinggalkan di klinik) selama dua minggu mencecah RM800.

“Maruko adalah kucing jantan yang cergas, tapi selepas kejadian itu haiwan berkenaan kurang aktif, seolah-olah trauma dengan kemalangan menimpanya bulan lalu,” katanya.

Dia memberitahu, besi dipasang pada rahang kucing berkenaan juga sudah dibuka semula namun Maruko kini lebih banyak menghabiskan masa di dalam rumah.

“Sekarang Maruko lebih banyak duduk diam dalam rumah, selain itu akibat kemalangan berkenaan, pakar veterinar memaklumkan mata kanan kucing berkenaan juga sudah tidak normal.

“Akibat rahang patah, kami kena beri Maruko makan makanan lembut, tapi tak apa memang sudah jadi tanggungjawab kami untuk jaga kucing ini,” katanya.

Halim merayu agar pihak berkuasa lebih tegas dalam menangani isu penderaan dan penganiayaan terhadap haiwan yang dilihat semakin berleluasa.

“Siapa pun akan marah bila tengok kucing kesayangan diperlakukan sedemikian. Banyak pelaku bertindak kejam terhadap haiwan terlepas tindakan undang-undang.

“Jadi saya harap jabatan atau agensi berkenaan lebih proaktif dalam menguatkuasakan undang-udang. Lebih bagus keluarkan saman atau jatuhkan hukuman paling berat kepada pelaku berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 8:57 AM
MARUKO, kucing milik Halim Hussin yang mengalami patah rahang akibat dilanggar lari bulan lalu. FOTO E-mel
MARUKO, kucing milik Halim Hussin yang mengalami patah rahang akibat dilanggar lari bulan lalu. FOTO E-mel