MUN KIT bersyukur dapat bersama semula anaknya Xin Xue yang dilarikan selama kira-kira seminggu oleh bekas isterinya warga Vietnam. FOTO Effendy Rashid
MUN KIT bersyukur dapat bersama semula anaknya Xin Xue yang dilarikan selama kira-kira seminggu oleh bekas isterinya warga Vietnam. FOTO Effendy Rashid
Farah Suhaidah Othman


BUDAK perempuan yang dilarikan ibu kandungnya warga Vietnam pada 24 November lalu, ditemui semula bapanya, 30 November lalu.

Loh Mun Kit, 39, berkata, anaknya Loh Xin Yue berusia tiga tahun dibawa lari oleh ibunya Nguyen Thi Xuyen, 36, ke Kuala Lumpur selepas berlaku perselisihan faham.

Mun Kit yang sudah bercerai dengan isterinya berkata, dia menerima panggilan daripada rakan bekas isterinya memaklumkan anaknya berada di hotel di Kuala Lumpur pada 29 November lalu.

Katanya, dia bersama ayah dan abangnya pergi ke hotel berkenaan untuk bertemu dan mengambil anaknya itu.

“Bekas isteri saya sendiri yang meminta rakannya menelefon saya dan ketika kami bertemu di hotel berkenaan, tiada pertengkaran berlaku.

“Malah keadaan anak saya yang ada penyakit sawan ketika ditemui juga sihat.

“Kami menyelesaikan perkara itu dengan baik dan bekas isteri bersetuju untuk menyerahkan anak kepada saya," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat dan Aduan MCA Perak, di sini hari ini.

Menurutnya, dia juga membenarkan bekas isterinya itu yang sudah pulang ke negara asal untuk melawat Xi Yue pada bila-bila masa.

Katanya, dia bersyukur kerana perkara itu diselesaikan dengan baik dan mendapat hak penjagaan anak selepas bercerai minggu lalu.

Harian Metro pada 29 November lalu melaporkan Mun Kit bimbang kesihatan anak perempuannya yang menghidap sawan dan perlu memakan ubat setiap hari selepas dilarikan isterinya.

Berita berkaitan

Isteri bawa lari anak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 3:32 PM