TRELER yang merempuh rumah sewa di Jalan Kereta Api, Kampung Perepat, Klang. FOTO Faliq Lajim
TRELER yang merempuh rumah sewa di Jalan Kereta Api, Kampung Perepat, Klang. FOTO Faliq Lajim
Faliq Lajim


WANITA warga emas yang mahu menunaikan solat Subuh terkejut apabila treler merempuh rumah sewa bersebelahan kediamannya di Jalan Kereta Api, Kampung Perepat, Klang, hari ini.

Dalam kejadian 6.15 pagi itu, pemandu kenderaan berat berusia 58 tahun berkenaan cedera di kepala namun tiada kemalangan jiwa lain dilaporkan.

Siti Saiyah Dulhamid, 73, ketika ditemui Harian Metro berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang bersiap menunaikan solat Subuh di rumah berkenaan.

"Ketika memasuki tandas untuk berwuduk, saya dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dan meninjau ke luar rumah namun seperti tiada apa yang berlaku.

"Tidak lama kemudian, saya terdengar jeritan jiran memanggil, 'mak cik, cepat keluar'. Apabila keluar, tubuh saya menggeletar melihat keadaan treler merempuh depan rumah sewa miliknya itu," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana tiga penyewa rumahnya itu sedang bercuti di kampung halaman masing-masing.

"Selain itu, mujur kenderaan milik mereka iaitu Nissan Almera, Proton Saga, lori dan motosikal berkuasa tinggi tiada di rumah berkenaan," katanya.

Laporan polis turut dibuat di Balai Polis Sungai Kapar untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Zaidi Atan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 6.24 pagi.

"Setibanya di lokasi kejadian, lelaki yang juga pemandu treler didapati tersepit dan cedera di dalam kenderaan itu

"Kami kemudian berusaha mengeluarkan mangsa dan menyerahkan kepada ambulans untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 1:37 PM