Mazelan (dua kiri) menunjukkan antara barangan yang dirampas daripada geng itik . FOTO FAIZ ANUAR
Mazelan (dua kiri) menunjukkan antara barangan yang dirampas daripada geng itik . FOTO FAIZ ANUAR
Faliq Lajim

POLIS Klang Utara menumpaskan kumpulan pecah rumah dan melarikan kenderaan dikenali sebagai Geng Itik dengan tertangkapnya seorang lelaki di sekitar Setia Alam, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan ketika memandu kereta Toyota Camry yang dicurinya, kira-kira jam 1.30 pagi.

"Ketika penahanan, berlaku sedikit pergelutan berikutan suspek bertindak agresif dan turut cuba melarikan diri.

"Namun, dia berjaya ditahan bersama beberapa peralatan pecah rumah dan sejumlah dadah jenis heroin dan syabu," katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya turut menemui tiga kenderaan milik mangsa iaitu Proton Waja, Proton Saga dan sebuah motosikal Honda RS150R di sekitar Bandar Baru Klang, kira-kira jam 4 pagi hari sama.

"Siasatan lanjut membawa kepada penemuan dua lagi kenderaan iaitu kereta Proton Waja dan lori jenis Inokom di Sabak Bernam pada jam 6 petang," katanya memaklumkan pihaknya berjaya menyelesaikan tujuh kes masing-masing di Nusa Bestari, Johor; Puchong, Sabak Bernam dan Klang.

Kata Mazelan, hasil saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek direman sehingga 23 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 (pecah rumah) dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan (curi kenderaan) serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan dua lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mazelan berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki yang bertindak ala samseng dipercayai mengugut seorang pemandu lain dengan kayu hoki di Bulatan Taman Berkeley, Klang, bagi membantu siasatan.

"Suspek berusia 25 tahun juga penarik kereta itu ditahan di tepi jalan di Seksyen 9, Shah Alam pada jam 12.40 tengah malam kelmarin (Isnin)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 8:34 PM