MATSUREH atau lebih dikenali dengan panggilan Ading hilang selepas pulang dari tempat kerja. FOTO ihsan keluarga
MATSUREH atau lebih dikenali dengan panggilan Ading hilang selepas pulang dari tempat kerja. FOTO ihsan keluarga
Hazsyah Abdul Rahman

WANITA dilaporkan hilang sejak lapan hari lalu dirayu pulang ke pangkuan keluarga di Kampung Kabulu, Beluran.

Mastureh Otoh, 24, atau lebih dikenali sebagai Ading oleh ahli keluarga dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas kerja di kampung itu sejak 2 Disember lalu.

Kejadian itu turut tular di Facebook selepas kakaknya, Masriah, 25, memuat naik status meminta bantuan orang ramai mengesan Ading.

Masriah ketika dihubungi, hari ini berkata, ibu mereka kini sakit selepas kejadian itu.

"Ading, pulanglah... mama inda sihat, dia sakit," rayu Masriah mengenangkan adiknya yang tidak dapat dikesan sehingga kini.

Katanya, sebelum kejadian, adiknya sempat menghubunginya dan mereka saling bertanya khabar.

"Dia tidak pernah menceritakan apa-apa masalah kepada kami. Namun tiba-tiba dia menghilangkan diri dan kami semua gagal menghubunginya sehingga kini.

"Sejak dia hilang, ibu kami yang menghidap sakit jantung sering pitam kerana berasa susah hati dengan kehilangannya.

"Kehilangannya memberikan kesan kepada kesihatan ibu kerana mereka menetap bersama di kampung," katanya yang menetap di estet di Sugut.

Masriah berkata, laporan polis sudah dibuat pada 4 Disember lalu di Balai Polis Sungai-Sungai, Paitan, Beluran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 6:46 PM