BOMBA berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan Bomba
BOMBA berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan Bomba
Hazsyah Abdul Rahman

 

Beluran: Seorang anggota polis maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan peronda dinaiki mereka terbabas di Kilometer 32 Jalan Beluran-Telupid, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, mangsa, Koperal Khairul Azamuddin Zolkepli, 32, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Sub Inspektor Awang Abdullah yang cedera di bahagian tubuhnya dikejarkan ke Hospital Beluran, untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, kedua-dua anggota polis berkenaan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Rosemidian Majid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.56 pagi dan mengerahkan lima anggota bomba ke lokasi kejadian.

"Apabila tiba di lokasi kejadian sejauh 38 kilometer dari balai bomba, terdapat satu kemalangan membabitkan kenderaan peronda polis selepas dipercayai terbabas sendiri.

"Seorang daripada mangsa sudah dihantar ke Hospital Beluran dan seorang lagi dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh paramedik Hospital Beluran.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Beluran untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi tamat sepenuhnya pada 3.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 9:53 AM