KEADAAN laluan di Kampung Manduring. FOTO ihsan Roslan Garabu
KEADAAN laluan di Kampung Manduring. FOTO ihsan Roslan Garabu
Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


Beluran: Keadaan laluan yang sangat teruk menyebabkan khidmat anggota bomba dan penyelamat terpaksa digunakan untuk menjemput kanak-kanak sakit di Kampung Manduring, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari itu, kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun terpaksa dikejarkan ke Hospital Beluran selepas menghidapi penyakit jangkitan kuman di perut.

Namun, keadaan laluan ke kampung itu yang sangat teruk menyebabkan ambulans sukar sampai ke rumah mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.17 tengah hari dari pihak hospital.

Menurutnya, susulan itu, sepasukan anggota menggunakan sebuah pacuan empat roda ke lokasi sejauh 36 kilometer dari BBP Beluran.

"Pasukan bomba berjaya membawa keluar mangsa dan menyerahkan kepada pihak ambulans," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, bapa kanak-kanak itu, Roslan Garabu, 41, berkata, anaknya muntah sejak pagi tadi dan mereka tidak dapat ke hospital.

"Saya hanya ada kenderaan kecil dan ia tidak dapat melalui jalan keluar kampung kami kerana keadaan sangat teruk.

"Saya menghubungi talian kecemasan dan pihak ambulans hanya dapat sampai di simpang masuk ke kampung saja.

"Ambulans tidak dapat masuk sehingga ke rumah kerana jalan ke kampung kami sangat teruk. Keadaan ini sudah berlaku sejak lebih 25 tahun lalu lagi," katanya.

Katanya, mujur pihak bomba datang membantu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 10:12 PM