Mohd Nasif Badruddin; Fairul Asmaini Mohd Pilus; Suraya Roslan; Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan


ESAKAN dan tangisan wakil Kelab UMNO Luar Negara begitu meruntun jiwa perwakilan yang hadir mendengar perbahasan usul ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017), semalam.

Ahmad Syazwan Shah Shah Headan yang juga Presiden Kelab UMNO Luar Negara menangis teresak-esak apabila membicarakan isu Baitulmaqdis yang bakal menjadi ibu negara Israel selepas menerima pengiktirafan Amerika Syarikat (AS).

Sebelum ini, Presiden AS Donald Trump membuat pengumuman Baitulmaqdis bukan lagi milik Palestin dan Kedutaan Amerika Syarikat akan dipindahkan ke ibu kota itu.

Air mata Ahmad Syazwan Shah turut dikongsi seluruh dewan hingga ada antara perwakilan Wanita dilihat menyapu air mata masing-masing.

Beliau yang juga Ketua UMNO London lantang bersuara mengutuk tindakan kuasa besar dunia berkenaan sebagai provokasi melampau sebelum gagal menahan emosi lalu menangis tersedu-sedan.

"Hari ini, kami mengambil peluang ini untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan AS yang memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis susulan langkah mengiktiraf kota itu sebagai ibu negara Israel.

"Ini yang kita tidak setuju, inilah yang akan membuat provokasi dan menjadi dunia tidak aman, pernah Saidina Umar Al Khattab membebaskan Baitulmaqdis, pernah Salehuddin Al Ayubi membebaskan Baitulmaqdis," katanya dalam esakan disambut laungan Allahu Akbar oleh perwakilan.

Menurutnya, dia menyokong sepenuhnya apabila Presiden UMNO mengutuk sekerasnya tindakan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

"Kita ini berada di akhir zaman ibu dan ayah (perwakilan). Seandainya ibu dan ayah tidak menjaga parti ini, seandainya ibu dan ayah berpecah-belah, seandainya ibu dan ayah tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertahankan parti ini di pilihan raya umum akan datang...di manakah kami jika Jerusalem pun kita tidak dapat pertahankan.

"UMNO juga mungkin hancur jika ahlinya tidak bersungguh-sungguh mempertahankan parti keramat ini pada pilihan raya akan datang, seperti mana nasib menimpa Baitulmaqdis.," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 3:29 PM