BUAYA seberat 250 kg ditangkap di sebuah kolam ikan Batu 35, Jalan Berjaya, Serian. FOTO Ihsan Jabatan Bomba Dan Penyelamat
BUAYA seberat 250 kg ditangkap di sebuah kolam ikan Batu 35, Jalan Berjaya, Serian. FOTO Ihsan Jabatan Bomba Dan Penyelamat
Melvin Joni


BUAYA seberat 250 kilogram ditangkap di sebuah kolam ikan Batu 35, Jalan Berjaya, Serian, semalam.

Reptilia itu ditangkap selepas pemilik kolam ikan berkenaan mendapati pancingnya dimakan buaya sebelum melaporkannya kepada bomba.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan, jam 8.38 pagi.

Beliau berkata, susulan itu, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pihak kami mendapati buaya sepanjang tiga meter sedang berada di dalam kolam itu.

“Anggota bomba yang berada di lokasi membuat ‘running bowline’ menggunakan tali bagi mengikat mulut buaya terbabit dan terus menariknya ke darat.

“Selepas buaya berjaya ditarik, pihak kami kemudiannya menutup matanya menggunakan guni serta kaki dan ekornya diikat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, buaya itu dipercayai sesat ke dalam kolam berkenaan dan memakan pancing dipasang pemilik kolam.

“Buaya itu diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan lanjut dan kini ditempatkan sementara di Jong Crocodile Farm,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 3:40 PM