Shamsul Munir Safini


PENGURUS Besar Zakat Pulau Pinang Datuk Azman Abdul Samat mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah babitkan cek RM9,000 di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, Azman pada Januari 2014 di pejabatnya di Bandar Perda, Bukit Mertajam, didakwa menerima satu cek di atas namanya berjumlah RM5,000 dengan tiada balasan daripada satu syarikat yang diketahui mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh di antara 28 hingga 30 Disember 2016 di pejabatnya di Bandar Perda telah menerima satu cek berjumlah RM4,000 dengan tiada balasan daripada satu syarikat yang diketahui mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Tertuduh berusia 50 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri kemudian memohon kepada mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selepas mempertimbangkan rayuan tertuduh dan 29 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 1:00 PM
Azman (kiri) diiring keluar daripada Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth. FOTO Danial Saad.
Azman (kiri) diiring keluar daripada Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth. FOTO Danial Saad.