MOHD Nassrul (kiri) ditemani bapanya Supaat Abd Manan, ibu, Siti Rodiah Ramli dan adik lelaki, Muhamad Farihin Supaat di Karnival Kerjaya, Kemahiran dan Produk Inovasi OKU 2017.
MOHD Nassrul (kiri) ditemani bapanya Supaat Abd Manan, ibu, Siti Rodiah Ramli dan adik lelaki, Muhamad Farihin Supaat di Karnival Kerjaya, Kemahiran dan Produk Inovasi OKU 2017.
Siti Salmiah A Hamid

Kuala Lumpur: “Sukar hendak dapat kerja kerana kebanyakan majikan mengutamakan pekerja normal berbanding keupayaan yang saya ada,” kata orang kurang upaya (OKU) fizikal, Mohd Nassrul Supaat, 28, yang ditemui pada Karnival Kerjaya, Kemahiran dan Produk Inovasi OKU 2017, di sini, semalam.

Menurut anak sulung daripada tujuh beradik ini, dia bersedia menerima apa saja jenis pekerjaan namun sehingga kini masih menunggu panggilan daripada majikan.

“Saya sudah menghadiri temuduga di pusat beli-belah, stesen minyak dan kedai serbaneka tetapi mereka tetap berikan jawapan yang sama, ‘kami akan hubungi kemudian’.

“Saya amat berharap karnival ini memberi peluang kepada golongan seperti saya untuk peroleh pekerjaan kerana kami mahu hidup berdikari dan tidak bergantung kepada keluarga semata-mata,” katanya.

Kata Nassrul, dia tidak mahu hanya berdiam diri dan menunggu huluran bantuan orang ramai sebaliknya memerlukan pekerjaan untuk menanggung keperluan diri dan keluarga.

“Setiap OKU memiliki keistimewaan tersendiri justeru, majikan perlu bersikap lebih adil dan bertimbang rasa agar kami turut sama menyumbang tenaga bagi memajukan syarikat.

“Saya tidak kisah jumlah gaji asalkan berbaloi dengan pekerjaan yang dilakukan,” katanya yang ditemani ahli keluarga.

Sementara itu, OKU pendengaran Muhamad Ridzuan Naina, 29, sanggup datang dari Melaka ke Kuala Lumpur semata-mata ingin menghadiri karnival berkenaan.

Graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kewangan dari Uniten Tenaga Nasional (UNITEN) ini mengakui sukar mendapat pekerjaan yang setaraf dengan pendidikannya.

Dia yang sudah lama menganggur, melakukan pelbagai cara bagi mendapatkan pekerjaan namun kebanyakan syarikat memilih pekerja yang mampu berkomunikasi secara lisan.

“Saya tidak akan berputus asa dan mahu mencuba saluran lain sekiranya sukar mendapat pekerjaan melalui karnival ini dan jika terpaksa saya ambil apa saja peluang di depan mata,” katanya yang cacat sejak dilahirkan.

Mereka antara 1,000 golongan OKU yang mencari peluang pekerjaan menerusi karnival kerjaya berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Paeza Rosdi berkata, lebih 1,000 pekerjaan ditawarkan membabitkan 25 majikan termasuk Mydin, Tesco, 7-11, Metro Parking, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dan eRezeki.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 9:02 AM