ORANG ramai terutama graduan  tak melepaskan peluang.
ORANG ramai terutama graduan tak melepaskan peluang.

Serdang: Kira-kira 10,000 pencari kerja menyerbu Karnival Kerjaya 2016 yang diadakan di dewan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) bagi mencari pekerjaan bersesuaian dengan kelulusan akademik masing-masing di sini, semalam.

Karnival sehari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang anjuran Jabatan Tenaga Kerja Selangor dan Kuala Lumpur dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Umum dan Masyarakat Penyayang serta MAEPS Management Sdn Bhd berkenaan menyediakan lebih 5,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang membabitkan 52 majikan dan 10 agensi.

Ketua Pengarah Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia Datuk Mohd Jeffrey Joakim berkata, pihaknya menerima kira-kira 400,000 pencari kerja berdaftar setiap tahun di laman web JobsMalaysia.

“Pada tahun lalu, 50 peratus daripada jumlah yang berdaftar itu sudah dibantu untuk mendapat kerja dan kalau boleh kami minta majikan berkorban serta memikirkan kadar gaji lebih tinggi untuk menarik lebih ramai pencari kerja tempatan.

“Berdepan cabaran ekonomi sekarang, saya faham majikan juga mahu berjimat-cermat tetapi saya berpendapat ada cara pelaburan lain bagi membayar gaji yang tinggi terutama pekerja yang komited dan kreatif,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Kerjaya 2016.

Hadir sama, Pengerusi MAEPS Management Sdn Bhd Datuk Dr Mohamad Satim Diman dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Umum dan Masyarakat Penyayang Rajaletchimee Krishnan.

Menurut Mohd Jeffrey, karnival kali ini memberi tawaran kerja membabitkan 465 untuk siswazah, 273 kemahiran dan 2,459 bukan siswazah.

“Mereka yang hadir pada karnival ini sebenarnya berpeluang untuk terus mendapat pekerjaan apabila majikan menyediakan temu duga terbuka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 8:16 AM