ANTARA pemenang bertuah yang memenangi motosikal Modenas MR2 pada peraduan Se-Motor Sehari, baru-baru ini.
ANTARA pemenang bertuah yang memenangi motosikal Modenas MR2 pada peraduan Se-Motor Sehari, baru-baru ini.
Siti Fatimah Nasir

Kuala Lumpur: Seramai 30 pengguna bertuah muncul pemenang peraduan Se-Motor Sehari anjuran syarikat pengeluar dan pengedar minuman, Etika Sdn Bhd (Etika) dengan kerjasama pasar mini 99 SpeedMart, baru-baru ini, sekali gus membawa pulang motosikal Modenas MR2.

Naib Presiden Pemasaran Etika, Santharuban T Sundaram berkata, peraduan yang dianjurkan sejak sebulan itu menerima 11,500 penyertaan dari seluruh negara, tetapi hanya 30 pemenang bertuah berpeluang memenangi motosikal Modenas MR2 bernilai RM3,765 dengan membeli minuman Etika di pasar mini 99 SpeedMart di seluruh negara.

“Peraduan ini inisiatif syarikat dalam memberi ganjaran terhadap pengguna setia yang terus memberikan sokongan kepada syarikat yang semakin memberangsangkan.

“Kami amat mementingkan dan menghargai pengguna setia melalui peraduan ini dengan cara berbeza dan menyeronokkan,” katanya.

Beliau berkata, peserta peraduan itu perlu membeli minuman edaran Etika seperti Pepsi, Revive Isotonic, 7UP, Tropicana, Mirinda, Teh Ice Tea Lipton, Gunung Dew, Gatorade, MUG, Kickapoo, WONDA Coffee, Calpis dan Dairy Champ di 99 Speedmart dalam satu resit.

“Selepas itu, mereka perlu menjawab soalan mudah dan menghantar jawapan menerusi nombor WhatsApp yang disediakan beserta butiran maklumat dan gambar resit sebagai bukti pembelian.

“Etika sangat berbangga dengan perkembangan perniagaan atas sokongan pengguna setia. Sebagai penghargaan kami bekerjasama dengan 99 Speedmart menganjurkan peraduan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan 99 Speedmart, Lee Thiam Wah berkata, perkongsian syarikatnya bersama Etika membolehkannya turut sama memberi kesempatan kepada pengguna dalam memenuhi keperluan asas mereka melalui peraduan yang dianjurkan itu.

“Kami sangat gembira terhadap penyertaan dalam peraduan kali ini apabila membabitkan pengguna setia Etika dan 99 Speedmart untuk turut terbabit di dalam peraduan,” kata Lee.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 6:45 AM