Ruwaida Md Zain


Klang: MILO®UHT menerusi Projek CAREton dengan kerjasama pasaraya 99 Speedmart menyasarkan kutipan 400,000 pek minuman terpakai untuk dikitar semula menjelang akhir tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif, Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, kerjasama berkenaan adalah sebahagian dari usaha untuk meluaskan capaian projek itu.

"Projek CAREton yang dilancarkan pada 2012 adalah usaha sama antara MILO®UHT dan Tetra Pak bagi mengumpulkan pek minuman terpakai untuk dikitar semula menjadi atap genting poli aluminium (PolyAl) dan papan panel mesra alam.

"Pada tahun ini, fasa perintis akan bermula di 100 pasaraya 99 Speedmart di Lembah Klang, di mana peti kitar semula CAREton ditempatkan di setiap lokasi untuk digunakan oleh masyarakat setempat dan pelanggan 99 Speedmart," katanya pada majlis pelancaran kerjasama secara rasmi MILO®UHT, Nestlé (Malaysia) dan 99 Speedmart menerusi Projek CAREton di Ibu Pejabat 99 Speedmart di sini, tadi.

Turut hadir, Pengasas dan Pengarah Urusan 99 Speedmart, Lee Thiam Wah.

Aranols berkata, usaha mencapai masa depan tanpa sisa buangan perlu diperluas dan Projek CAREton jelas mempamerkan kerjasama yang membawa kepada pencapaian itu.

JUAN Aranols (duduk kanan) dan Thiam Wah (duduk kiri) menunjukkan atap genting yang dikitar semula daripada pek minuman terpakai pada Majlis Pelancaran Kerjasama MILO UHT dan 99 Speedmart menerusi Projek CAREton di Ibu Pejabat 99 Speedmart, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
JUAN Aranols (duduk kanan) dan Thiam Wah (duduk kiri) menunjukkan atap genting yang dikitar semula daripada pek minuman terpakai pada Majlis Pelancaran Kerjasama MILO UHT dan 99 Speedmart menerusi Projek CAREton di Ibu Pejabat 99 Speedmart, Klang. FOTO FAIZ ANUAR

"Kami sudah berjaya mengumpulkan lebih 95 juta pek minuman terpakai yang digunakan untuk membina atap genting lebih 250 rumah untuk program ini.

"Cara kitar semula mudah sahaja, iaitu tolak penyedut minuman ke dalam pek, buka kelepak dan leperkan sebelum masukkannya ke dalam mana-mana peti kitar semula CAREton.

"Dengan sokongan 99 Speedmart, rangkaian tempat kutipan akan diperluaskan malah kami akan terus memacu agenda kitar semula untuk membina masa depan yang lebih lestari," katanya.

Beliau berkata, pengguna boleh memasukkan apa sahaja pek minuman terpakai ke dalam peti kitar semula CAREton yang terletak di kedai 99 Speedmart terpilih.

"Bagi mendapatkan lokasi terdekat peti kitar semula CAREton, sila layari laman web http://recycle-easy.com.my. Untuk mereka yang berminat untuk menjadi rakan kutipan CAREton, butiran lanjut juga boleh didapati di laman web ini.

"Untuk maklumat lanjut mengenai Projek CAREton, sila layari https://www.milo.com.my /careton-project," katanya.

Sementara itu, Thiam Wah berkata, pihaknya teruja dapat bekerjasama dengan MILO®UHT Nestlé (Malaysia) dan menjadi sebahagian daripada Projek CAREton.

"Kerjasama ini memberi peluang kepada kami untuk menggalakkan aktiviti kitar semula dalam kalangan pelanggan kami.

"Kami berharap usaha ini akan menggalakkan masyarakat untuk mula mengitar semula pek minuman mereka dalam peti kitar semula CAREton yang akan diletakkan di tempat yang mudah ditujui di hadapan gedung 99 Speedmart terpilih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 8:21 PM