Hamzah (belakang, tengah)  bersama wakil Etika  dan ANGKASA  mengagihkan bungkusan susu Goodday kepada pelajar sekolah.
Hamzah (belakang, tengah) bersama wakil Etika dan ANGKASA mengagihkan bungkusan susu Goodday kepada pelajar sekolah.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pengeluar minuman, Etika Group of Companies (Etika) bekerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad (ANGKASA) untuk mengedarkan ribuan paket susu Goodday kepada pelajar sekolah sebagai komitmen untuk mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan.

Etika yang melabur sebanyak RM100 juta untuk menaik taraf kilang pengeluaran produk tenusunya di Meru, Klang dijangka menyaksikan peningkatan mendadak dalam pengeluaran susu tempatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada komitmen Etika untuk mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan penduduk di negara ini.

“Dengan membekalkan susu kepada pelajar sekolah, ia membantu memupuk pemahaman mengenai kesihatan yang baik pada usia yang masih muda.

“Ketika ini, sektor pengeluaran tenusu Malaysia adalah penyumbang kecil iaitu hanya lima peratus daripada keperluan domestik. Bagaimanapun, saya yakin dengan pelaburan dan kelengkapan canggih pengeluaran baru dari Etika akan menyuntik dorongan baru ke industri tenusu tempatan di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, susu mengandungi nutrien yang penting dalam pertumbuhan kanak-kanak dan sebagai pemangkin untuk mereka menyertai sukan di peringkat antarabangsa.

“Antara pengeluaran dua jenama baru susu oleh Goodday Milk iaitu Goodday Madu dan Goodday Teh Hijau diharap memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk mengamalkan meminum susu setiap hari,” katanya.

Hamzah berkata, pentingnya kerjasama antara organisasi swasta dan kerajaan untuk meningkatkan ekonomi negara.

“Dengan peningkatan produk Etika akan membantu menghasilkan produk berkualiti tinggi untuk pengguna dan membantu meningkatkan perniagaan eksport mereka sekali gus membawa kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dan peluang pekerjaan yang lebih baik.

Untuk maklumat lanjut mengenai Etika, orang ramai boleh melawat laman web rasmi www.etikaholdings.com.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 4:57 AM