Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan melanjutkan tempoh peraduan Jom Minta Resit GST yang dijadualkan berakhir Julai ini kepada November depan.

Ketua Cawangan Perhubungan Awam Jabatan Kastam Diraja Malaysia Aidid Tajuddin berkata, sementara cabutan hadiah kepada pemenang akan dibuat secara dwi bulanan iaitu April dan Mei; Jun dan Julai, Ogos dan September serta Oktober dan November.

"Sebanyak 2,876 hadiah untuk dimenangi pada setiap tempoh cabutan seperti motosikal Modenas CT115S, iPhone 6s, Samsung Galaxy Tab, Galaxy S7 Edge, Note 5 dan TV LED 40 inci dan pelbagai barangan elektrik.

"Peraduan yang dijalankan secara dalam talian ini terbuka kepada orang ramai dengan melayari laman web www.myresitgst.com.my atau memuat turun aplikasi mudah alih MyResitGST melalui Playstore (pengguna Android) dan AppStore (pengguna IOS)," katanya dalam kenyataan di sini.

Aidid berkata, peraduan itu dianjurkan JKDM sejak 1 April lalu sempena Program Pemberian Insentif Kepada Pengguna Meminta Resit Bercukai GST.

Menurutnya, setiap pemenang akan dimaklumkan JKDM menerusi pos dan telefon, selain itu peserta juga boleh menyemak melalui aplikasi mudah alih MyResitGST dan menuntut hadiah di mana-mana pejabat Kastam berhampiran.

"Kita ingin memaklumkan kepada orang ramai, tiada sebarang bayaran yang dikenakan oleh JKDM berkaitan penyertaan peraduan ini,"katanya.

Beliau berkata, maklumat lanjut berhubung peraduan ini boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang www.myresitgst.com.my atau menghubungi Pusat Panggilan Kastam di talian 1-300-888-5000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 7:14 PM