Anggota polis trafik membantu pergerakan lalu lintas di hadapan kedai emas yang dirompak. FOTO Mohamed Sahidi Yusof
Anggota polis trafik membantu pergerakan lalu lintas di hadapan kedai emas yang dirompak. FOTO Mohamed Sahidi Yusof
Mohamed Sahidi Yusof


SEORANG lelaki hanya mengambil masa kira-kira 15 saat sebelum melarikan 10 utas rantai emas bernilai hampir RM50,000 dalam rompakan di sebuah kedai emas di Jalan Hospital, Tanah Merah, hari ini.

Dalam kejadian pada 10.50 pagi, lelaki bertopeng dan memakai topi keledar terbabit memasuki kedai itu ketika tiada pelanggan.

Ketika itu, hanya ada empat pekerja dengan dua berada di hadapan kaunter dan dua lagi di bahagian belakang.

Seorang pekerja, Nor Haliza Ibrahim, 20, berkata, lelaki berkenaan memasuki kedai dalam keadaan mencurigakan dengan memakai topeng dan topi keledar serta tidak bercakap.

"Lelaki itu meluru ke arah bersebelahan pintu masuk di dalam premis dan mengeluar satu tukul besi serta memecahkan cermin laci tempat barang kemas dipamerkan.

"Perompak itu bertindak pantas mengambil barang kemas termasuk beberapa utas rantai secara tergesa-gesa sebelum melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal yang diletakkan di luar premis," katanya ketika ditemui di kedai berkenaan, hari ini.

Nor Haliza berkata, seorang pekerja lelaki cuba mengejar perompak itu yang meloloskan diri dengan memecut laju motosikal keluar dari kawasan premis.

"Bagaimanapun kejadian itu sempat dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup yang terdapat di dalam kedai," katanya.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, kejadian berlaku terlalu pantas apabila lelaki yang menggunakan tukul itu melarikan 10 utas rantai emas.

"Lelaki itu meninggalkan tukul yang digunakan sebelum melarikan diri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 4:15 PM