MOHD Zin (dua dari kanan) meninjau aktiviti nelayan.
MOHD Zin (dua dari kanan) meninjau aktiviti nelayan.
HAZAHAR (kiri) dan Mohd Zin menunjukkan cara penggunaan radio di dalam bot nelayan.
HAZAHAR (kiri) dan Mohd Zin menunjukkan cara penggunaan radio di dalam bot nelayan.
SEBAHAGIAN bot nelayan yang menggunakan talian radio.
SEBAHAGIAN bot nelayan yang menggunakan talian radio.
Mohamad Hussin


Sukarelawan Perikanan (SUPER) dan Sistem Komunikasi Nelayan (SKN) Kelantan yang ditubuhkan sejak 2014 berkonsepkan pengurusan perikanan berasaskan masyarakat (CBFM) bagi membantu golongan nelayan.

Ahli SUPER turut membantu memantau pencerobohan kawasan penangkapan ikan serta membanteras gejala yang menjejaskan ekosistem seperti pencemaran dan penggunaan peralatan yang merosakkan sumber dan alam sekitar.

Mereka juga mengawasi pematuhan aspek keselamatan di laut dan sungai serta membantu tugas mencari dan menyelamat (SAR) dalam kes kecemasan apabila diperlukan.

Pengarah Perikanan Kelantan Mohd Zin Saad berkata, pihaknya menubuhkan SUPER terdiri daripada nelayan pantai, laut dan darat membabitkan empat daerah iaitu Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

Beliau berkata, dengan penubuhan pasukan SUPER, Pejabat Perikanan Kelantan melalui Cawangan Pengembangan dan Pemindahan Teknologi merangka membabitkan SUPER dengan SKN atau lebih dikenali sebagai Radio Nelayan Kelantan.

“Cetusan idea untuk mewujudkan SKN ini timbul apabila terdapat banyak kemalangan di laut membabitkan nelayan seperti hilang di laut, bot karam, kerosakan enjin bot dan sebagainya.

“Objektif SKN ialah menguruskan sumber perikanan negara secara cekap dan inovatif melalui konsep CBFM, melonjakkan sistem penyampaian berteraskan modal insan yang berkemahiran dan berpengetahuan.

“Meningkatkan pendapatan nelayan melebihi RM3,000 sebulan melalui penyaluran maklumat yang berkesan, cepat dan tepat,” katanya yang ditemui pada Program myDOF Media Tour 2016 di Kuala Besar, Kota Bharu, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua SUPER Daerah Kota Bharu merangkap Pengerusi Kelab Radio Kota Bharu Hazahar Mat Sanisah.

Mohd Zin berkata, SUPER turut memantapkan tanggungjawab sosial melalui kerja mencari dan menyelamat mangsa bencana di daratan dan lautan serta mengeratkan jalinan perhubungan antara jabatan dan kumpulan sasaran.

“Sehingga kini terdapat dua unit pancar ulang (repeater) dan 30 unit radio VHF transceiver bagi menjayakan program ini.

“Jumlah ahli Radio Komunikasi Nelayan Kelantan mencecah 287 orang yang mendapat lesen daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

Menurutnya, kejayaan penubuhan SUPER dibuktikan apabila mereka membantu penduduk yang dilanda banjir besar di Kelantan, awal tahun ini.

“Kita berjaya menyelamatkan kira-kira 1,800 mangsa banjir. Dengan adanya SKN ia memudahkan kami berhubung antara satu sama lain

“Penubuhan SUPER pula diharap dapat membantu Jabatan Perikanan dengan menjadi mata dan telinga bagi menangani isu yang membabitkan nelayan sendiri,” katanya.

Nelayan, Mohd Thariq Azih, 32, berkata, dia mula terbabit aktiviti perikanan sejak berusia 16 tahun apabila mengikut datuknya ke laut.

Katanya, kewujudan SUPER dan SKN memudahkan nelayan jika berlaku kecemasan di laut untuk berhubung antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 11:07 AM