ANGGOTA Bahagian Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Pahang mengawal dua bot pukat tunda nelayan Vietnam yang dirampas ketika menangkap ikan di perairan Pekan. FOTO Mohd Rafi Mamat
ANGGOTA Bahagian Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Pahang mengawal dua bot pukat tunda nelayan Vietnam yang dirampas ketika menangkap ikan di perairan Pekan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

BAHAGIAN Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Pahang menahan 60 bot nelayan warga asing dan tempatan yang melakukan pelbagai kesalahan di perairan negeri ini, tahun lalu.

Daripada jumlah itu, dua tangkapan membabitkan bot laut dalam nelayan Vietnam yang melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen di perairan negeri ini, manakala 58 bot lagi milik rakyat tempatan.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Azahari Othman berkata, nilai keseluruhan lelongan bot dan hasil tangkapan seperti ikan, udang dan sotong serta peralatan menangkap ikan sepanjang tahun lalu berjumlah lebih RM178,957.

Katanya, jabatan juga mengenakan kompaun RM70,900 kepada pemilik bot, tekong dan awak-awak warga asing yang tidak memiliki permit atau lesen menangkap ikan diperairan negara.

“Kesalahan dilakukan bot tempatan ialah melanggar syarat lesen mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 menggunakan kru atau awak-awak bot warga negara asing tanpa kelulusan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Terdapat juga bot tempatan yang melakukan kesalahan menggunakan saiz mata pukat di bahagian keroncong kurang daripada 38 milimeter (mm),” katanya, di sini, hari ini.

Dalam tempoh tiga bulan tahun ini, beliau berkata, Bahagian Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Pahang menahan dua bot warga asing bersama 21 awak-awak Vietnam yang sedang menangkap ikan di perairan Pekan di kawasan 60 batu nautika dari Kuala Tembeling, di sini, minggu lalu.

Azahari juga berkata, nilai rampasan dua bot laut dalam berkenaan yang menggunakan pukat tunda secara berganding bersama hasil tangkapan ikan dan sotong serta peralatan menangkap ikan bernilai lebih RM3 juta.

Katanya, jabatan kini mempunyai dua bot ronda berkelajuan tinggi yang digunakan untuk melakukan rondaan dan tangkapan bot nelayan yang melakukan kesalahan, bot berkenaan mampu pergi sejauh 70 batu nautika.

“Selain melakukan rondaan secara berjadual, serbuan dilakukan setiap kali menerima aduan daripada nelayan tempatan yang melihat kehadiran bot nelayan asing terutama di perairan Pekan yang menjadi tumpuan mereka.

Azahari berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan pihak yang melakukan apa juga kesalahan terutama membabitkan tangkapan hasil laut tanpa permit dan pencerobohan, tindakan undang-undang dan hukuman berat akan dikenakan supaya pihak lain tidak cuba melakukan kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 11:39 AM