Junaidi Ladjana


MAYAT wanita ditemui terlentang di dalam parit sedalam hampir dua meter di belakang rumah didiaminya di Jalan Darau berhampiran Kampung Darau, Manggatal, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian pada 10.30 pagi, mayat Memoi Yailin, 26, ditemui oleh suaminya, Gadil Laduin, 27, yang kemudian memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 11 pagi sebelum sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi kejadian.

"Siasatan di lokasi kejadian mendapati mayat mangsa terlentang di dalam parit itu.

"Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada kesan pergelutan atau kesan pencerobohan di rumah mangsa.

"Kita tidak menolak kemungkinan mangsa terjatuh namun punca sebenar masih dalam siasatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 5:11 PM
Polis mengangkat mayat Memoi untuk dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1.
Polis mengangkat mayat Memoi untuk dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1.