ALIAS (kanan) dan Azhari  (dua dari  kanan)  pada Program Pelancaran GERAH di Seksyen 16,  Shah Alam, semalam.
ALIAS (kanan) dan Azhari (dua dari kanan) pada Program Pelancaran GERAH di Seksyen 16, Shah Alam, semalam.

Shah Alam: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membincangkan pelbagai perkara termasuk Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim berkata, pihaknya sudah menghantar surat untuk mengadakan perjumpaan bersama kepemimpinan negeri itu minggu lalu dan masih menunggu jawapan.

“Surat mengenainya sudah dihantar minggu lalu dan kami tunggu jawapan daripada beliau (Mohamed Azmin) bila kita boleh mengadakan pertemuan antara SPRM Selangor bersama kerajaan negeri,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Pelancaran Sahabat Gerakan Revolusi Antirasuah (GERAH) SPRM dan Program SPRM Selangor bersama Komuniti Shah Alam di Seksyen 16, di sini, semalam.

Turut hadir Penyelaras Kerajaan Persekutuan Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

Kerajaan Selangor adalah satu-satunya kerajaan negeri yang masih belum menandatangani IBR.

Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang juga enggan menandatangani IBR namun pada 28 Jun tahun lalu bersetuju berbuat demikian berserta tambahan 10 langkah integriti kerajaan negeri.

Sementara itu mengulas mengenai GERAH di negeri itu, Alias berkata, hampir 10,000 orang menjadi Sahabat GERAH SPRM membabitkan penjawat awam, badan bukan kerajaan serta pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau berkata, GERAH yang dilancarkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad pada 8 Mei tahun lalu semakin mendapat sambutan apabila kira-kira 140,000 orang kini menjadi sahabat GERAH di seluruh negara.

Beliau berkata, pelbagai program sudah dilaksanakan bagi mewujudkan masyarakat yang bukan saja benci tetapi sanggup memerangi rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.

GERAH adalah manifestasi untuk masyarakat bersama SPRM dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa secara habis-habisan demi negara.

Di bawah payung GERAH, SPRM melancarkan kempen 3J (Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle) yang menjadikan pegawai SPRM sendiri sebagai penggerak utama selain bantuan media menyampaikan mesej anti rasuah kepada rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 1:10 PM