PENGUNJUNG bersama anaknya mencuba permainan interaktif yang disediakan di   Ekspo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka.
PENGUNJUNG bersama anaknya mencuba permainan interaktif yang disediakan di Ekspo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka.
HM Digital

Kuala Lumpur: Rata-rata pengunjung pameran infrastruktur berskala besar, Ekspo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka di sini, mahu pameran interaktif itu dijadikan sebagai acara tahunan bagi membangkitkan lagi semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat negara ini.

Tinjauan Metro Ahad semalam mendapati pengunjung yang ditemui berkongsi perasaan terkejut, gembira, bangga dan terpegun dengan kandungan multimedia pameran percuma itu yang diadakan selama sebulan sehingga 15 Disember ini.

Mereka yang ditemui berkata, dengan kandungan pameran yang serba moden dan canggih itu, ia sewajarnya dijadikan acara tahunan untuk menyemarakkan semangat patriotisme.

Guru Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabuddin Melaka, Nurul Izantie Mohd Zurki, 26, berkata, dia percaya pameran terbabit juga secara tidak langsung mampu menjadi tarikan pelancong sekiranya ia dapat dijadikan acara tahunan.

“Malah saya lihat bukan saja rakyat Malaysia, bahkan pelancong luar negara juga datang ke pameran ini untuk melihat kemajuan infrastruktur yang disampaikan melalui tayangan multimedia yang sangat menakjubkan.

“Selama ini mungkin kita hanya membaca di akhbar atau melihat di kaca televisyen tetapi di sini dapat memegangnya seperti hampir 20 jenis telefon yang digunakan sejak 1960-an hingga 1990-an pada pameran Kubah 2: Kemudahan Infrastruktur,” katanya.

Peniaga dari Bangi, Selangor, Zulkarnain Mohd Ali, 43, berkata, dia tertarik dengan persembahan masa depan pembangunan negara menerusi aplikasi teknologi interaktif dengan paparan visual di bumbung Kubah 5 yang bertemakan Masa Depan Gemilang.

“Dalam keadaan sama ada berdiri, duduk di kerusi 180 darjah, atau berbaring di tilam empuk yang disediakan, pengunjung seolah-olah dibawa ‘menerokai’ masa hadapan melihat kemajuan pembangunan negara.

“Semua pameran yang ada di lima kubah di sini mempunyai daya tarikan tersendiri dan saya berharap ia dapat diadakan secara tahunan dengan kandungan tayangan yang berlainan dan ditambah baik setiap tahun,” katanya.

Ekspo Negaraku 2017 anjuran Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri itu dibuka secara percuma kepada pengunjung sehingga 15 Disember ini bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 4:07 AM