GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh dijangka bermula Rabu ini dan berakhir Mac tahun depan yang mana dalam tempoh ini empat hingga enam episod hujan lebat akan berlaku.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jailan Simon berkata, semasa fasa awal Monsun Timur Laut iaitu dari November hingga Disember, hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Menurutnya, bagi Januari 2021, hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

"Fasa kedua Monsun Timur Laut iaitu hujung Januari 2021 seperti biasa dijangka cuaca agak kering di negeri utara semenanjung (Kedah, Pulau Pinang dan Perlis) dan Kelantan.

"Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jailan berkata, sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk.

"Selain itu tiupan angin Timur Laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

"Orang ramai dinasihatkan bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat serta angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan METMalaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 7:59 PM