ROSLI memeriksa barisan anggota Skim Rondaan Sukarela di Taman Indera Sempurna.
ROSLI memeriksa barisan anggota Skim Rondaan Sukarela di Taman Indera Sempurna.
HM Digital

Kuantan: Kadar pendaftaran aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dalam kalangan penduduk negeri ini masih kurang memuaskan apabila hanya 10,000 pengguna mendaftar selepas tujuh bulan dilancarkan.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, jumlah itu jauh daripada sasaran ditetapkan bagi negeri ini seramai 500,000 pengguna yang mendaftar dalam aplikasi baru itu selepas dilancarkan.

“Kita dapati kadar pendaftaran aplikasi ini masih rendah dan jauh daripada sasaran tetapkan. Jadi kita akan laksanakan lebih banyak promosi bagi menambah jumlah berkenaan.

“Kita mahu lebih ramai orang awam mendaftar aplikasi VSP bagi memudahkan kerjasama antara mereka dan pihak berkuasa dalam mencegah kes jenayah di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran VSP Peringkat Kontinjen Pahang di Taman Indera Sempurna di sini, kelmarin.

Menurutnya, aplikasi itu inisiatif baru selepas Rakan Cop bagi merancakkan aktiviti pengawasan dan pencegahan jenayah dalam kalangan masyarakat.

“Sehingga kini kira-kira 10 peratus daripada jumlah pengguna mendaftar aktif dalam memberi info kepada polis berkaitan kes jenayah di kawasan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 11:53 AM