PENGARAH KDNKA, Datuk Seri Zulkifli Abdullah siap untuk melakukan selaman sempena Program Community Policing-Go Green Pasukan Polis Marin di Pulau Perhentian. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
PENGARAH KDNKA, Datuk Seri Zulkifli Abdullah siap untuk melakukan selaman sempena Program Community Policing-Go Green Pasukan Polis Marin di Pulau Perhentian. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Maiamalina Mohamed Amin dan Zatul Iffah Zolkiply


HANYA 778,000 pengguna seluruh negara mengakses aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak dilancarkan Mac lalu.

VSP adalah Projek Perluasan Program Rakan Cop bertujuan merancakkan lagi aktiviti pengawasan jenayah di kalangan masyarakat.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Zulkifli Abdullah Bukit Aman, berkata pihaknya menggalakkan rakyat untuk memuat turun aplikasi itu dalam usaha membantu polis mengekang jenayah.

"Sejak dilancarkan, kita ada 778,000 pengguna saja yang memanfaatkan VSP untuk menghantar maklumat, termasuk dalam bentuk video dan gambar.

"Sedangkan objektif VSP untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai masyarakat bersama PDRM, khususnya menyalurkan maklumat yang boleh kekang jenayah.

"Malah, menerusi perkongsian itu juga, ia sangat membantu kita dalam mengumpul maklumat ketika di tempat kejadian," katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau terdahulu merasmikan Program ‘Community Policing, Go Green’ Pasukan Polis Marin di Pulau Perhentian.

Hadir sama, Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail; Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan; Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kamaruzaman Mamat dan Komander Pasukan Polis Marin (PPM), Datuk Abdul Rahim Abdullah.

Zulkifli yakin VSP dapat menarik pembabitan masyarakat dan kerjasama mereka secara optimum bersama PDRM.

“Dalam soal menjaga keselamatan, tidak boleh terletak di bahu PDRM sahaja. Rakyat kena bantu. Peranan mereka boleh membuatkan penjenayah takut untuk buat jenayah.

"Sebagai contoh di Pulau Perhentian ini, memang ada keperluan untuk menambah keanggotaan di Pondok Polis, tetapi ia belum mencukupi jika masyarakat tidak bantu sama.

"Sebab itu kita galakkan memuat turun VSP selain Rakan Cop yang diwujudkan sekian lama," katanya.

Mengenai program anjuran PPM, katanya, aktiviti itu sebahagian daripada agenda mendekatkan diri dengan masyarakat selain menunjukkan komitmen PPM melaksanakan amalan hijau dalam perkhidmatan.

Pada majlis itu, 150 penyelam PDRM termasuk Zulkifli dan agensi berkaitan melakukan pembersihan dasar laut dengan mengutip bahan yang menjadi ancaman kepada hidupan marin.

Turut diadakan program bersama masyarakat dan penanaman pokok di Masjid Ar-Rahman, Pulau Perhentian sebagai simbolik program ‘Go Green’.

https://itunes.apple.com/my/app/volunteer-smartphone-patrol-vsp/id111823...

https://play.google.com/store/apps/details?id=my.gov.onegovappstore.rv2&...

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 11:47 AM