MEGAT (dua dari kanan)  menunjukkan aplikasi VSP kepada  peniaga dan pengunjung pasar pagi Kinrara, semalam.
MEGAT (dua dari kanan) menunjukkan aplikasi VSP kepada peniaga dan pengunjung pasar pagi Kinrara, semalam.
HM Digital

Serdang: Orang ramai digalak menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) sebagai langkah membantu pihak polis dalam membanteras jenayah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, penggunaan aplikasi itu dilihat bertepatan untuk diguna pakai dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis.

“Perkembangan teknologi pada masa kini membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat dengan cepat termasuk penggunaan aplikasi VSP yang membolehkan komuniti menyalurkan maklumat (terutama jenayah) kepada pihak polis.

“Ini sekali gus menjadikan masyarakat sebagai mata-mata pihak polis dan membolehkan tindakan pantas serta pencegahan diambil,” katanya ketika ditemui selepas program Kempen Pendaftaran VSP di pasar pagi Kinrara, di sini, semalam.

Dalam lawatan itu, Megat Mohamad Aminuddin turut beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung pasar terbabit dan menyampaikan maklumat berhubung aplikasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 9:16 AM