GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ibrahim Isa


POLIS Johor menahan dua lagi lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan menjadikan jumlah keseluruhan lapan lelaki ditahan setakat ini susulan kes dua beradik perempuan dilacurkan ibu kandung mereka sejak September lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, dua lelaki Bangladesh berusia 35 tahun itu ditahan petang semalam di sebuah kilang di Senai, iaitu kilang sama dengan lima rakan senegara mereka ditahan awal pagi semalam bagi membantu siasatan.

"Pada jam 1.30 tengah hari, hari ini, kami menahan majikan mereka yang juga warga tempatan berusia 48 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Kami akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas lelaki berkenaan di Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 55 B Akta Imigresen.

"Manakala dua lelaki warga Bangladesh itu ditahan reman selama 14 hari hingga 14 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.

Menurutnya, hasil penahanan tujuh lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki tempatan dan ibu mangsa, polis kini sudah mengenal pasti dalang sebenar kes berkenaan dan berusaha mengesannya.

Difahamkan, dalang kejadian itu adalah teman lelaki kepada ibu dua kanak-kanak berusia 10 dan 13 tahun yang dilacurkan dengan bayaran RM50 bagi setiap perkhidmatan seks kepada lelaki Bangladesh.

Ibu tunggal berusia 36 tahun itu dikatakan akan membawa kedua-dua anaknya itu ke sebuah hotel bajet di Larkin Perdana, Johor Bahru, sejak September lalu dan ditinggalkan di dalam bilik berasingan untuk melayan lelaki Bangladesh berkenaan, manakala wanita itu dikatakan menunggu di bilik berasingan bersama teman lelakinya berusia 30-an.

Mereka dikatakan bercinta sejak hampir lapan tahun lalu dan lelaki warga Bangladesh berkenaan dikatakan sering melawat ibu mangsa di rumahnya di Taman Bintang, Senai.

Bagaimanapun, helah mereka terbongkar apabila wanita berkenaan ditahan polis dalam serbuan di rumahnya pada 25 Oktober lalu, susulan penahanannya, dua anaknya itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk menjalani pemeriksaan sebelum pasukan perubatan mendapati terdapat kesan koyakan lama dan baru pada kemaluan mereka.

Dua beradik itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), petang semalam.

Lima daripada tujuh lelaki Bangladesh berusia 28 hingga 42 tahun yang ditahan di kilang sama di Senai, awal pagi semalam, kini ditahan reman selama 14 hari hingga 13 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Berita berkaitan:

Kenapa begitu keji

5 lelaki Bangladesh ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 8:05 PM