Rudy Fazrunisyam Samarudin


DUA lagi loji rawatan air ditutup hari ini akibat pencemaran amonia di Johor menjadikan keseluruhan 360,000 akaun pengguna air terjejas membabitkan hampir dua juta penduduk.

Semalam Loji Rawatan Air (LRA) Semangar, Kota Tinggi ditutup diikuti dua lagi iaitu LRA Sungai Johor dan Tai Hong menyebabkan bekalan air bersih terjejas di sekitar daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi.

Ketua Komunikasi Korporat SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ Ranhill), Jamaluddin Jamal, berkata kehadiran amonia yang tinggi di dalam sumber air mentah kini merebak ke dua lagi LRA itu yang menyebabkan ia terpaksa ditutup.

"LRA Semangar babit 160,000 akaun dan dua lagi LRA itu membabitkan masing-masing 170,000 dan 30,000 akaun pengguna air," katanya ketika dihubungi, hari ini.

SAJ Ranhill dalam satu kenyataan media hari ini berkata, insiden (penutupan LRA Semangar) itu adalah kejadian kali ketiga membabitkan penemuan amonia dalam sumber air mentah di LRA berkenaan sepanjang tahun ini.

Katanya, berikutan penemuan kandungan amonia dalam sumber air mentah, SAJ Ranhill tiada pilihan selain menghentikan operasi LRA berkaitan supaya kesan pencemaran bahan kimia berkenaan tidak masuk ke dalam sistem rawatan air bersih sekali gus menganggu kualiti air yang diterima oleh pengguna.

"Kualiti air yang dibekalkan oleh SAJ Ranhill menjadi keutamaan berikutan piawaian paras amonia yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu pada paras 1.5 ppm perlu dipatuhi.

"SAJ Ranhill terpaksa mengambil keputusan untuk tidak merawat air mentah terbabit yang mengandungi kandungan amonia yang tinggi dan sehingga awal pagi tadi ia mencapai tahap 2.75 part per billion (ppm)," katanya.

LRA Semanggar adalah loji utama yang menyalurkan air terawat ke sebahagian besar pengguna di Johor Bahru dan Kulai.

Orang ramai yang terbabit dan ingin mendapatkan maklumat lanjut dan ingin mendapatkan bantuan bekalan air boleh menghubungi SAJ Info Centre di talian 1-800-88-7474.

Berita berkaitan:

Tolonglah buat kerja!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 8:53 PM