ARUNASALAM meninjau hutan dari Bukit Bendera. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
ARUNASALAM meninjau hutan dari Bukit Bendera. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Zuhainy Zulkiffli


GELARAN ‘Raja Bukit Bendera’ memang sesuai dengannya berikutan kebolehan memahami selok-belok hutan.

Malah, M Arunasalam, 68, atau mesra dipanggil Raja itu, amat disegani dalam kalangan penduduk serta pekerja Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) berikutan kesediaannya menyertai kerja menyelamat atau sukarela.

Arunasalam berkata, dia adalah Pengerusi Persatuan Penduduk di bukit peranginan berkenaan dan berkhidmat dengan PBBPP sejak 2010 dengan mengetuai jabatan di bahagian landskap.

Berikutan mahir dalam ‘ilmu’ hutan, khidmatnya sering diperlukan ketika kecemasan atau operasi menyelamat membabitkan kawasan bukit.

“Saya adalah generasi ketiga yang tinggal di bukit ini, kerana itulah saya mahir dengan kawasan hutan di negeri ini dan tidak saja di Bukit Bendera, juga sehingga kawasan bukit di Teluk Bahang.

“Sekiranya ada operasi menyelamat orang sesat atau kecemasan lain, saya adalah orang yang bertanggungjawab membantu pihak berkuasa melakukan kerja itu, selain bantuan bersama persatuan penduduk,” katanya ketika ditemui, di sini.

Arunasalam berkata, pengalaman menyelamatkan pengunjung tidak semudah yang disangka malah ada kala mempengaruhi emosi, dan antara yang tidak akan dilupakan ialah ketika terbabit dalam operasi mencari pendaki sesat di bukit berhampiran Taman Belia Pulau Pinang.

ARUNASALAM (kiri) ketika mengiringi lawatan tetamu khas di Bukit Bendera. FOTO ihsan M Arunasalam
ARUNASALAM (kiri) ketika mengiringi lawatan tetamu khas di Bukit Bendera. FOTO ihsan M Arunasalam

Katanya, operasi yang berlangsung selama lebih 10 jam pada 2000 itu berakhir dengan tragedi apabila pendaki terbabit ditemui tidak bernyawa tidak jauh dari kawasan pencarian.

“Hanya ketika matahari terbit, barulah kami dapat lihat pendaki berkenaan dalam keadaan sujud serta sudah tidak bernafas dan lebih memilukan, terdapat bekas tapak kasutnya di sekeliling pokok berhampiran.

“Seolah-olah pendaki berkenaan berusaha mencari jalan keluar tetapi tidak tahu arah, malah kami juga tidak jauh daripadanya, itulah yang menyebabkan saya terkilan serta tekad membantu kerja menyelamat secara sukarela,” katanya ketika ditemui.

Sudah tentu pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang berkhidmat di PBBPP ialah kejadian ribut pada tengah malam, November 2017 lalu.

Katanya, situasi cemas apabila telefon bimbitnya bertalu-talu menerima panggilan dan pesanan berhubung pokok tumbang akibat angin kencang itu.

“Saya ada di rumah ketika itu dapat lihat pusaran angin seolah-olah mencabut pokok dan selepas itu telefon saya tidak henti berdering memaklumkan mengenai pokok yang dibawa angin yang terkena landasan kereta api.

“Selepas ribut reda, saya keluar rumah dan lihat hampir semuanya musnah akibat ribut berkenaan, malah hubungan jalan juga terputus,” katanya lagi.

MAHIR selok-belok hutan. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
MAHIR selok-belok hutan. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

Dengan pengalaman yang ada, Arunasalam memberi arahan menerusi telefon bimbit kepada petugas yang mendakwa terdapat struktur yang dikhuatiri boleh menyebabkan tanah runtuh.

Katanya, ribut memusnahkan pokok, menyebabkan tanah tidak dicengkam akar dan ia berlaku berhampiran landasan kereta api.

Dalam kejadian itu, seramai 39 pengunjung termasuk bayi terperangkap di resort puncak bukit, malah mereka terputus bekalan makanan, elektrik dan air selama tiga hari.

“Mujurlah ada cucu saudara di rumah yang masih minum susu tepung dan saya beri kepada bayi itu kerana bekalan susunya juga tidak dapat dibawa naik.

“Pengalaman itu paling berharga kerana saya dan keluarga juga menjadi mangsa ribut itu, namun pada masa sama perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan pengunjung,” katanya.

Arunasalam berharap orang ramai dapat menjadikan bukit peranginan itu sebagai contoh pemuliharaan alam sekitar termasuk flora dan fauna.

Katanya, tiada yang lebih bahagia dan gembira baginya apabila dapat tinggal di dalam hutan ditemani bunyi unggas setiap hari.

“Saya rasa bertuah dilahirkan di sini, ada waktunya dapat melihat haiwan yang sukar dijejak seperti kancil atau murai batu berkepala hitam dan berekor putih.

“Inilah manfaat yang diperoleh generasi depan sekiranya kita pada hari ini menjaga alam dengan baik,” katanya lagi.

MENUNJUKKAN peta Bukit Bendera. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
MENUNJUKKAN peta Bukit Bendera. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 6:45 AM