Saiful Affendy Sapran


PUTRAJAYA: “Saya nekad cari kerja di Singapura walaupun dengan berbekalkan hanya RM200 dalam poket.”

Itu luahan bekas pelumba paracycling negara, Mohamad Syazwan Roshdi yang membulatkan tekad untuk mencari rezeki di Singapura meskipun sedar kelangsungan hidupnya di sana tidak terjamin selepas hanya mempunyai wang sebanyak itu.

Keputusan itu dilakukan Syazwan selepas tidak disambung kontrak oleh Majlis Sukan Negara (MSN) bermula Disember tahun lalu selain usahanya untuk mendapatkan pekerjaan di negara ini menemui jalan buntu.

“Saya sudah berusaha untuk mencari kerja di sini tetapi setakat ini tidak mendapat sebarang tawaran. Seorang rakan dari Singapura kemudian memberitahu dia dapat membantu saya untuk mendapatkan kerja di sana. Jadi dengan hanya RM200 itu saja nekad pergi ke Singapura.

“Sampai di sana saya cuba hubungi kawan saya itu tetapi gagal. Akibatnya saya terpaksa bermalam di sebuah masjid di Tampines sebelum sambung menumpang rehat di surau CIQ (Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin) di Johor Bahru selepas dinasihati oleh orang awam di sana supaya pulang ke Malaysia,” katanya ketika ditemui sejurus tiba dari Johor Bahru semalam.

SYAZWAN (kanan) dan Rizal ketika ditemui wartawan. -Foto Saiful Affendy Sapran
SYAZWAN (kanan) dan Rizal ketika ditemui wartawan. -Foto Saiful Affendy Sapran

Atlet berusia 22 tahun berasal dari Seremban itu berkata, tanpa pertolongan rakannya itu, dia nekad mencari kerja sendiri di beberapa premis di sana.

“Sebab itu saya tetap mahu tinggal di sana dengan harapan dapat panggilan pekerjaan. Tapi sehingga semalam (Khamis) wang saya tinggal RM2 saja,” katanya.

Bercerita lanjut, Syazwan berkata, mujur dia kemudian bertemu bekas pelumba negara, Mohd Rizal Tisin yang singgah di surau itu untuk solat Isyak dalam perjalanan pulangnya ke Kuala Lumpur.

Rizal kini menggalas tugas jurulatih berbasikal untuk skuad kebangsaan Singapura.

“Sepanjang di sana saya memang sentiasa berdoa selepas solat supaya urusan saya untuk mencari kerja dipermudahkan. Alhamdulillah akhirnya saya bertemu dengan abang Rizal yang kemudian membantu dan menasihatkan saya untuk pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.

SYAZWAN (kiri) bersalam dengan Megat D Shahriman selepas ditawarkan bekerja dengan MASCA, semalam.
SYAZWAN (kiri) bersalam dengan Megat D Shahriman selepas ditawarkan bekerja dengan MASCA, semalam.

Jelas Syazwan, pada asalnya dia mempunyai bekalan RM700 untuk ke Singapura.

“Tapi beberapa hari sebelum ke Singapura, seorang rakan meminjam duit sebanyak RM500 kerana alasan masalah peribadi dan berjanji untuk membayar secepat mungkin. Tapi pada akhirnya saya tak dapat kembali duit itu. Sebab itu saya nekad pergi ke Singapura dengan RM200 saja,” katanya yang mengalami kecacatan kedua-dua tangannya mengecil.

Pemenang pingat emas para Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu berkata, hatinya sudah tawar untuk menggalas tugas sebagai atlet kebangsaan selepas digugurkan.

“Saya memang agak kecewa bila tahu nama digugurkan. Tapi saya anggap ia bukan rezeki saya lagi dan sekarang saya hanya mahu beri tumpuan untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Rizal menerusi laporan portal Harian Metro tengah malam semalam mendedahkan dia bertemu Syazwan di surau CIQ dengan tidak makan selama dua hari selepas ditipu kenalannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 12:15 AM