(DARI kanan) Muzli , Tuan Mohd Asri, Saidon bersama delegasi daripada MPSJ ketika lawatan kerja NSTP.
(DARI kanan) Muzli , Tuan Mohd Asri, Saidon bersama delegasi daripada MPSJ ketika lawatan kerja NSTP.
HM Digital

Kuala Lumpur: Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengadakan lawatan ke Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di sini, semalam untuk berkongsi maklumat dan mengukuhkan hubungan antara kedua-dua pihak.

Lawatan membabitkan 10 delegasi MPSJ, disambut Penulis Kanan Khas Harian Metro (HM) Tuan Mohd Asri Tuan Hussien, Pengarang Eksekutif Berita New Straits Times (NST) Muzli Mohd Zin, dan Pengarang Kanan Khas, Ekonomi dan Hal Ehwal Semasa Berita Harian (BH) Saidon Idris.

Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ Hamizun Mohammad Basar berkata, melalui lawatan ini secara tidak langsung pihak MPSJ dapat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perkara baru yang berlaku dalam organisasi media.

“Lawatan media ini diadakan pada setiap tahun, bagi mengeratkan lagi hubungan antara media dan MPSJ.

“Kita dapat pendedahan mengenai medium media terkini dalam penyampaian berita kepada masyarakat,” katanya.

Hamizun berkata, pihaknya sangat mementingkan hubungan antara media kerana menerusi media ia dapat memberitahu gambaran sebenar perkara yang dilakukan oleh MPSJ.

“NSTP salah satu media yang sangat lama dan menjadi pilihan kepada masyarakat, jadi kami berharap agar maklumat mengenai MPSJ dapat disampaikan kepada masyarakat di luar sana.

“Kami juga berharap agar media dapat memberikan pendedahan meluas mengenai bidang kerja yang kami lakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 6:03 AM