ABDUL Hamid (dua kanan) menerima cenderahati yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Interim NSTP; Mustapha Kamil Janor sambil diperhatikan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Saidon Idris (kanan) dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit (kiri) ketika mengadakan lawatan ke Jabatan Pengarang NSTP di Balai Berita, Bangsar. FOTOHairul Anuar Rahim

Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEMUA pegawai kanan sama ada dari peringkat tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta sentiasa memberikan kerjasama terbaik dalam menyalurkan maklumat kepada pihak media di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, mereka perlu menyampaikan informasi kepada umum mengenai kejayaan dan setiap aktiviti penugasan penguat kuasaan membabitkan masyarakat umum.

"Selain pengarah setiap jabatan dalam PDRM serta Ketua Polis Negeri, kenyataan media juga wajar disalurkan oleh setiap Ketua Polis Daerah (KPD).

"Sejak dari dulu lagi (sepanjang menjawat jawatan KPN) saya sudah mengarahkan semua pegawai kanan berkongsi setiap maklumat dengan pihak media untuk dihebahkan kepada orang ramai," katanya selepas melawat Balai Berita, New Straits Times Press (M) Berhad di Jalan Riong, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, melalui pendedahan itu, orang ramai akan mendapat informasi mengenai sesuatu tindakan atau perkara yang berlaku dalam lingkungan kehidupan mereka seharian.

"Perkara ini sedikit-sebanyak dapat meningkatkan imej PDRM selain mengeratkan lagi hubungan dalam konteks 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'," katanya

Terdahulu, Abdul Hamid meninjau penugasan Unit Editorial Berita Harian (BH); Harian Metro dan The New Straits Times (NST).

Turut mengiringi Abdul Hamid adalah Pengarah Eksekutif Operasi, Berita dan Editorial Media Prima Berhad Mustapha Kamil Mohd Janor, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit dan Pengarang Kumpulan BH, Saidon Idris.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 9:30 PM