Wan Siah Muda, 58, rumahnya di  Perumahan Awam Kos Rendah Batu Hampar yang basah selepas bumbung diterbangkan ribut. Gambar kanan, penduduk perumahan itu membaiki bumbung rumah mereka. - Foto ROZAINAH ZAKARIA
Wan Siah Muda, 58, rumahnya di  Perumahan Awam Kos Rendah Batu Hampar yang basah selepas bumbung diterbangkan ribut. Gambar kanan, penduduk perumahan itu membaiki bumbung rumah mereka. - Foto ROZAINAH ZAKARIA
Zatul Iffah Zolkiply dan Ahmad Rabiul Zulkifli


“SAYA melaungkan azan dan tidak putus-putus berdoa agar kami sekeluarga selamat," kata Wan Siah Muda, 58, antara mangsa ribut di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Batu Hampar, Manir, Kuala Terengganu, hari ini.

Wan Siah antara 50 pemilik rumah PAKR Batu Hampar yang kerugian apabila atap rumah diterbangkan angin selain kerosakan barangan elektrik dan perabot yang basah terkena hujan dalam kejadian jam 2.45 petang itu.

Selain penduduk di PAKR, hampir 50 rumah penduduk di Kampung Kubang Bujuk dan Kampung Kesom dekat Manir turut rosak.

Wan Siah berkata, dia bersama suaminya, Abdullah Tayib, 67, dan anak bongsu, Mohd Alias,21, sedang berehat di rumah apabila angin tiba-tiba bertiup kencang disusuli hujan lebat.

"Saya segera membuka tingkap lalu melaungkan azan sebelum menyelamatkan suami yang strok.

"Saya dan anak hanya memikirkan keselamatan suami

“Walaupun ribut itu hanya 15 minit namun ia tetap menakutkan kami sekeluarga," katanya yang menganggap ia kejadian terburuk selama 20 tahun tinggal di kawasan berkenaan.

Ribut turut melanda sekitar Padang Midin dan Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu.

Suri rumah, Munirah Mahadi, 33, berkata, dia yang sedang mandi dikejutkan dengan deruan angin pada 2.30 petang.

Dia yang menyewa sejak lapan tahun lalu berkata, ia kejadian paling buruk sejak bersama suami dan dua anak menyewa di kampung berkenaan.

“Bunyi angin yang kuat disusuli hujan berlangsung selama 20 minit.

"Beberapa atap rosak ditimpa atap yang terbang dari rumah kedai di depan," katanya.

Seorang penternak kambing susu di Kampung Wakaf Mempelam kerugian lebih RM8,000 apabila kandang kambingnya rosak dipukul ribut pada 3.30 petang.

Bagaimanapun, Tuan Baharin Tuan Kuning, 38, bernasib baik kerana 20 kambing dalam kandang, selamat.

Tuan Baharin berkata, kandang yang musnah itu baru saja disiapkan enam bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 8:43 PM