Bumbung jejantas pejalan kaki dan rumah penduduk Kampung Tengah yang rosak akibat ribut yang berlaku. FOTO Adnan Ibrahim
Bumbung jejantas pejalan kaki dan rumah penduduk Kampung Tengah yang rosak akibat ribut yang berlaku. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim

SEBANYAK 14 keluarga di Kampung Tengah dan Kampung Melayu, pekan Layang-Layang, Kluang, Johor, hanya mampu melihat sebahagian bumbung rumah mereka diterbangkan ribut dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku selama kira-kira 30 minit itu, bumbung jejantas pejalan kaki yang digunakan kira-kira 1,200 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Layang-Layang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Layang-Layang turut diterbangkan angin.

Penduduk Kampung Tengah, Wan Daud Wan Diah, 53, berkata, ketika kejadian dia bersama isterinya bersiap-siap untuk memulakan perniagaan di gerai di hadapan rumah sebelum angin dan hujan lebat berlaku serentak.

Katanya, kali pertama tiupan angin tidak terlalu kuat namun sudah ada tanda-tanda berlakunya angin kencang dan selang lima minit kemudian rumahnya ditiup angin kencang bersama hujan lebat hingga menggegarkan atap rumahnya.

“Kami sekeluarga terus mengemas barang-barang penting termasuk peralatan elektrik untuk dipindahkan ke tempat lebih selamat namun belum sempat berbuat apa-apa, angin muncul berpusar seperti puting beliung.

“BUnyi seakan-akan orang berlari di atas bumbung sebelum angin menerbangkan atap rumah dan hujan menderu masuk. Kami hanya mampu melihat kejadian itu tanpa boleh melakukan apa-apa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah, Pekan Layang-Layang, di sini.

Wan Daud berkata, melihat angin yang seolah-olah menggila dan tiada tanda-tanda akan berhenti, dia melaungkan Azan sebelum keadaan kembali tenang, ketika itu suasana gelap walaupun baru jam 6 petang.

Sementara itu, Ketua Serikandi PKR Negeri Johor, Nur Khurul Ain Abd Samat berkata, menyalurkan bantuan kecemasan sebanyak RM300 dan diberikan terus kepada setiap keluarga mangsa.

Katanya, kerja-kerja membaiki rumah yang rosak dilakukan Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) manakala bantuan lain disalurkan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak lama lagi.

“Diharapkan dengan pemberian bantuan kecemasan itu, ia dapat membantu keluarga membaiki kerosakan rumah dengan segera bagi membolehkan mereka hidup seperti biasa,” katanya.

Bumbung jejantas pejalan kaki dan rumah penduduk Kampung Tengah yang rosak akibat ribut yang berlaku. FOTO Adnan Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 5:34 PM